Print  |  Favourites

Subsidi Upah 2.0 bantu kekal perniagaan, pekerjaan - FMM


Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai. - Foto: NSTP/Owee Ah Chun.
Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai. - Foto: NSTP/Owee Ah Chun.

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 24 September 2020 - Lanjutan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi hingga Disember 2020 menyediakan sokongan yang amat diperlukan industri dalam usaha mengekalkan perniagaan dan melindungi pekerjaan. 

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata ini memandangkan perniagaan perlu terus menghadapi cabaran pemulihan pada separuh kedua 2020, terutama dari segi penjualan domestik dan eksport yang dijangkakan lebih rendah.

Beliau berkata oleh kerana kesan COVID-19 telah menjejaskan perniagaan, FMM mengakui pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang diperkenalkan serta dilaksanakan dengan segera oleh kerajaan telah membantu dalam proses awal pemulihan perniagaan.

Rangsangan ini juga membantu perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya perniagaan mikro, untuk mengatasi beberapa cabaran termasuk kekangan aliran tunai dan tangungan kos modal tetap.

Di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan memperluas Program Subsidi Upah 2.0 dengan peruntukan tambahan RM2.4 bilion yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja.

"Bagaimanapun, perniagaan, terutama PKS, masih amat kekurangan dana. Justeru, bantuan seterusnya untuk menyokong mereka membiayai kos operasi, termasuk kos bahan mentah dan tenaga kerja adalah dialu-alukan.

"FMM merayu supaya kerajaan dan institusi kewangan terus memberikan sokongan moratorium kepada industri dalam tempoh mencabar ini untuk tiga bulan lagi sehingga Disember 2020, yang bertujuan memberi kelegaan kepada perniagaan dalam proses pemulihan," katanya.

– Bernama



Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2020 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy