Print  |  Favourites

Pelaksanaan RCEP tepat pada masa

FMM In The News:  BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, 24 Januari 2022 -  Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang suku pertama tahun ini adalah tepat pada masanya untuk perniagaan Malaysia memanfaatkan perjanjian mega itu sebagai alat pemulihan perniagaan COVID-19 untuk meningkatkan perdagangan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata ia mengalu-alukan RCEP oleh Malaysia yang dijadualkan pada 18 Mac 2022.

"FMM adalah penyokong kuat RCEP kerana kami sentiasa mengekalkan bahawa RCEP, sebaik saja dilaksanakan, akan menyumbang dengan ketara kepada perniagaan Malaysia kerana ia mewujudkan satu blok kerjasama ekonomi yang menyumbang kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dan satu pertiga daripada populasi global, atau 2.2 bilion orang, dengan ASEAN memainkan peranan penting.  

"Menurut laporan baru-baru ini oleh Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan, berbanding negara ASEAN yang lain, Malaysia dijangka menjadi penerima manfaat terbesar perjanjian RCEP dari segi peningkatan dalam eksport, dengan unjuran peningkatan AS$200 juta," katanya dalam satu kenyataan.  

Malaysia bersedia menjadi penandatangan RCEP ke-12 untuk melaksanakan perjanjian itu selepas Instrumen Pengesahan (IOR) diserahkan kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.
Thian Lai berkata, FMM melancarkan satu siri webinar mengenai RCEP untuk membantu syarikat mengenal pasti potensi peluang dan jurang dalam beberapa bidang baharu dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi memastikan perniagaan Malaysia memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan sebarang kemungkinan kerugian daripada FTA.  

Dalam perkembangan lain, FMM juga menggesa kerajaan menyegerakan proses ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk memberi manfaat kepada perniagaan pada masa yang memerlukan itu.  

CPTPP dijangka menyediakan akses kepada tiga negara yang Malaysia pada masa ini tidak mempunyai FTA, iaitu Kanada, Mexico dan Peru.  

"Walaupun kami sedar bahawa tiada tarikh akhir bagi Malaysia untuk melengkapkan proses domestik bagi membolehkan ratifikasi CPTPP, FMM percaya bahawa pengesahan perjanjian itu pada tarikh seawal mungkin akan menyumbang kepada pemulihan Malaysia," tambahnya.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy