Print  |  Favourites

FMM minta pengilang maklumkan inisiatif perubatan terkini PERKESO kepada pekerja

FMM In The News: BERITA HARIAN,KUALA LUMPUR, 8 Februari 2025 -Pengilang diminta memaklumkan kepada kakitangan mereka mengenai inisiatif terkini PERKESO dalam mempermudahkan proses rawatan perubatan bagi pekerja yang mengalami kecederaan berkaitan pekerjaan.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata melalui inisiatif itu, pekerja tidak lagi perlu membayar kos rawatan terlebih dahulu ketika mendapatkan rawatan di klinik panel PERKESO. 

"FMM menyokong penuh penambahbaikan ini yang memudahkan akses kepada penjagaan perubatan, mengurangkan beban kewangan pekerja dan memastikan rawatan diberikan tanpa sebarang kelewatan. 

"Menerusi susunan baharu ini, pekerja boleh menerima rawatan di mana-mana 1,400 klinik panel PERKESO seluruh negara tanpa perlu membayar terlebih dahulu.  

"Ia kerana klinik akan menuntut kos rawatan secara langsung daripada PERKESO," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Beliau memaklumkan sebelum ini, pekerja terpaksa membayar kos rawatan perubatan mereka terlebih dahulu yang biasanya antara RM150 hingga RM200 setiap lawatan, dan kemudian menuntut semula bayaran itu daripada PERKESO. 

Katanya, inisiatif terbaru itu juga membantu pekerja memberi tumpuan kepada pemulihan sambil meminimumkan gangguan kerja, yang akhirnya memberikan manfaat kepada pekerja serta majikan. 

"Penambahbaikan ini selaras dengan komitmen FMM untuk memperjuangkan dasar yang mengimbangi kebajikan pekerja dengan keperluan industri," katanya. 

Thian Lai berkata, akses yang cepat serta mudah kepada rawatan perubatan juga membolehkan kesihatan di tempat kerja diuruskan dengan lebih baik, dan pada masa sama memastikan tenaga kerja selamat serta produktif. 

"FMM berharap dapat terus bekerjasama dengan PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia untuk mempertingkatkan skim perlindungan pekerja yang memberi manfaat kepada pekerja dan majikan," katanya


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy