Print  |  Favourites

FMM seru kerajaan wujudkan dana ESG RM2 bilion

FMM In The News: BERNAMA, KUALA LUMPUR, Rabu, 7 Disember 2022- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini menggesa kerajaan menubuhkan pusat sehenti termasuk menawarkan Dana ESGsehingga RM2 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pusat yang dicadangkan itu, sewajarnya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,akan memberi peluang kepada PMKS mendapatkan pembiayaan serta sumber mampu milik bagi memulakan perjalanan ESG mereka.

"Dana ESG ini bukan sahaja memenuhi keperluan industri tertentu tetapi merangkumi semua industri yang memerlukan pembiayaan dan beberapa bantuan kerajaan untuk mula melaksanakan amalan ESG mereka sekarang.

"Kami telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan terdahulu bagi menubuhkan Dana ESG untuk pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini tetapi ia tidak diambil. Kami akan mengemukakan semula cadangan kami dan berharap kerajaan baharu akan mempertimbangkannya," katanya kepada Bernama di Persidangan Keusahawanan FMM (FEC)2022 di sini hari ini.

Soh berkata terdapat keperluan untuk penggunaan amalan ESG yang lebih meluas dalam kalangan PMKS memandangkan pelabur dan institusi kewangan semakin meletakkan kepentingan yang lebih besar terhadap elemen ESG sebelum memutuskan sebarang keputusan pelaburan atau akses kepada pembiayaan.

"Kementerian juga perlu mewujudkan dasar yang komprehensif dengan mempunyai pasukan petugas baharu untuk mengawasi penggunaan ESG dalam kalangan PMKS disamping melibatkan pemain industri agar memahami cabaran mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Suriani Ahmad semasa ucaptamanya berkata PMKS perlu serius menangani aspek ESG dalam model perniagaan mereka bagi memenuhi matlamat kelestarian, agar kekal relevan dalam rantaian nilai dan bekalan global.

Beliau berkata kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah mewujudkan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon bernilai RM1 bilion untuk menyokong PMKS dalam menggunapakai amalan lestari dan rendah karbon di bawah Bajet 2022.

"PMKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM10 juta bagi setiap syarikat dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

"Sehingga 6 Julai 2022, sebanyak 26 syarikat telah memohon kemudahan tersebut dengan jumlah pembiayaan mencecah RM11.71 juta," katanya.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Rizal Nainy pada majlis perasmian FEC 2022 hari ini.

Persidangan sehari itu, bertemakan "Memperkukuhkan PKS dengan ESG, maju dan mengembangkan perdagangan melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)",memberi tumpuan kepada peralihan PMKS ke arah agenda mampan, pembiayaan, akses pasaran dan rantaian nilai global.

-- BERNAMA

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy