FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Jumaat, 5 Februari 2021 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menyelaraskan usaha penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut garis panduan standard dan menurut prosedur operasi standard (SOP) am yang diumumkan bagi pelaksanaan di seluruh negara.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari, Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai, berkata FMM sentiasa menekankan bahawa untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu ada jalinan usaha bersepadu di antara sektor awam dan swasta.
"FMM juga ingin mengulangi bahawa perintah penutupan serta-merta perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan keadaan operasi perlu dibuat dengan mengambil pertimbangan beberapa cabaran utama yang dihadapi industri.
"Ini termasuk mereka yang memerlukan kerjasama penuh daripada pemegang kepentingan utama lain seperti majlis tempatan berkaitan pematuhan kepada Akta 446 mengenai penginapan pekerja asing," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Thian Lai berkata, industri kecewa dengan pengumuman pada Khamis lalu apabila sektor yang diluluskan untuk menyambung perniagaan sebelum ini seperti tekstil, pakaian dan kasut tidak dimasukkan ke dalam senarai perkhidmatan penting.
"Ini juga termasuk keseluruhan rantaian bekalan, termasuk runcit dan industri/sektor lain yang mungkin menyokong secara tidak langsung perkhidmatan penting, serta syarikat berorientasikan eksport utama.