Print  |  Favourites

FMM setuju KSM jadi badan pengendali tunggal pekerja asing

FMM In The News: MALAYSIAKINI, 28 Disember 2023 - Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik cadangan agar pengurusan pekerja asing diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menegaskan sokongan tersebut, Presiden FMM, Soh Thian Lai, mengingatkan bagaimana dasar yang berbolak-balik telah menjejaskan perniagaan sebelum ini.

"Mempunyai satu agensi untuk mengendalikan keseluruhan pengurusan pekerja asing sepenuhnya akan memastikan satu set dasar yang koheren dilaksanakan dalam rangka kerja strategik untuk pengurusan pekerja asing, yang menyokong sasaran pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia kemudian menyatakan beberapa faktor yang boleh menjadikan KSM sebagai agensi tunggal yang ideal untuk memikul tugas pengendalian pekerja asing.

"KSM bertindak sebagai organisasi payung yang menyelia perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber tenaga kerja negara melalui jabatan dan agensinya yang lain, dan dengan itu merupakan kementerian yang paling sesuai untuk menjalankan pengurusan hal ehwal pekerja asing di negara ini.

"Kementerian itu mempunyai kapasiti penguatkuasaan yang relevan untuk menguruskan semua hal buruh mengikut undang-undang sedia ada mesti termasuk pekerja asing.

"Selaras dengan amalan antarabangsa seperti Singapura dan Emiriah Arab Bersatu, pengurusan pekerja asing berada di bawah bidang kuasa KSM mereka," katanya.

Dalam kenyataan itu, Soh turut menyokong gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) M Kulasegaran supaya KSM dijadikan pihak berkuasa tunggal yang bertanggungjawab mengendalikan pekerja asing.

Katanya bahawa pada masa lalu, dasar yang berubah-ubah kerajaan berhubung isu pekerja asing telah sangat merosakkan negara dan industri.

Menurut Soh, keadaan itu sangat mengecewakan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan selepas mereka menghadapi kelewatan dalam proses kelulusan.

"Pengurusan pekerja asing telah diserahkan kepada KSM pada Feb 2022 berikutan penarikan balik pembekuan pengambilan pekerja asing selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, keputusan sepihak pada Dis 2022 untuk mengembalikan kuasa pengurusan pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri menyebabkan banyak gangguan, pembaziran sumber, dan pertindihan fungsi," katanya.

Mempunyai agensi tunggal bagi mengendalikan pengurusan pekerja asing juga, kata Soh, hanya memerlukan penyelenggaraan satu repositori pusat pangkalan data pekerja asing.

"Pangkalan data ini boleh dikongsi dengan semua pihak berkuasa dan agensi berkaitan dan bukannya mempunyai pelbagai sistem dan pangkalan data untuk peringkat proses permohonan yang berbeza dikendalikan oleh agensi yang berbeza dan memerlukan majikan menyerahkan data dan kebenaran pekerja kepada pelbagai agensi seperti yang berlaku pada masa ini.

"Mempunyai terlalu banyak kementerian dan agensi yang terlibat dengan pelbagai peringkat kelulusan hanya akan merumitkan sistem dan menimbulkan kelewatan yang tidak wajar dalam usaha membawa masuk pekerja dengan cepat.

"Mempunyai satu agensi dan sistem dalam talian tunggal juga akan memastikan komunikasi segera dan isu diselesaikan dengan lebih cepat kerana majikan sahaja berurusan dengan satu agensi dan sistem," katanya.


ADS

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy