Print  |  Favourites

Ratifikasi segera CPTPP bantu pulih ekonomi, perniagaan

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 6 Ogos 2020 - Proses ratifikasi domestik Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkannya dimuktamadkan segera dalam usaha memulihkan ekonomi dan perniagaan Malaysia pasca COVID-19.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata langkah mengesahkan segera perjanjian membabitkan 11 negara sangat penting untuk menstabilkan sektor pengeluaran pembuatan serta memperluaskan akses pasaran eksport Malaysia.

"Walaupun FMM sedar masih tiada tarikh akhir bagi Malaysia untuk memuktamadkan proses domestik ratifikasi CPTPP, kita percaya ia perlu diselesaikan dengan segera.

"CPTPP akan memberikan sumbangan yang besar dalam meningkatkan akses pasar, memperluas eksport, meningkatkan kegiatan ekonomi dan meningkatkan pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, CPTPP penting untuk meningkatkan akses pasaran ke negara seperti Kanada serta negara Amerika Latin terutama Mexico yang ketika ini mengenakan tarif tinggi untuk komponen elektrik, alat komunikasi dan elektronik pengguna.

Katanya, perjanjian itu juga dapat meningkatkan eksport untuk industri elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi penyumbang utama pendapatan eksport Malaysia.

"Kita semua menyedari kepentingan CPTPP ini kerana ia akan memberi kelebihan kepada pengeluar sarung tangan nitril Malaysia berbanding China untuk dieksport ke Kanada.

"Ia juga membantu industri tekstil negara meningkatkan eksport sebanyak 20 peratus menerusi pelupusan duti tekstil dalam kalangan negara CPTPP.

"Perjanjian ini juga akan membantu pengeluar alat ganti dan komponen automotif Malaysia untuk mengeksport produk tulen (OEM) global yang terletak di negara CPTPP iaitu Mexico dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global mereka," katanya.

Beliau menambah, lebih 80 peratus eksport bahagian automotif Malaysia terutama komponen getah dijangka menikmati akses bebas cukai dengan segera.

"Kami turut menantikan dengan penuh harapan yang sama untuk kesepakatan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) penting lain seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).

"Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung pada perdagangan dan pelaburan bagi mengekalkan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kami mengalu-alukan manfaat komersial dan strategik yang akan dicapai oleh FTA ini terutama dalam tempoh kritikal," katanya.

Beberapa hari lalu, wujud pertikaian sama ada kerajaan meratifikasi CPTPP atau sebaliknya di sesi Dewan Rakyat.

Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Jabatan Peguam Negara dan kementerian berkaitan sedang menjalankan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh bagi meratifikasi CPTPP.

Pada masa ini, Malaysia adalah antara empat negara di samping Brunei, Chile, dan Peru yang belum meratifikasi CPTPP.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy