Print  |  Favourites

Hapuskan syarat program subsidi upah - FMM

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, April 6, 2020 -Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap syarat program subsidi upah kepada majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus dihapuskan, termasuk hanya membabitkan pekerja dengan gaji bawah RM4,000.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kerajaan diharap dapat mengkaji semula perkara itu kerana banyak syarikat yang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum memuktamadkan akaun kewangan mereka untuk Mac 2020.

Di samping itu katanya, situasi majikan untuk mengekalkan pekerja dalam tempoh enam bulan akan datang turut menjadi satu cabaran disebabkan terdapat banyak ketidakpastian mengenai daya maju berterusan perniagaan.

“Ia keadaaan yang belum pernah berlaku sebelum ini. Kami bagaimanapun mengalu-alukan pertimbangan yang diberikan oleh kerajaan untuk bersetuju rundingan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan semasa PKP ini termasuk langkah pemotongan kos seperti potongan gaji dan cuti tanpa gaji.

“Dalam mengurangkan beban kos ke atas majikan, terutama mereka yang menggaji pekerja asing, pengumuman pengurangan 25 peratus levi pekerja asing dari April 2020 hingga Disember 2020 adalah perkara yang tepat.

“Walau bagaimanapun, memandangkan kesan perbelanjaan levi ke atas pekerjaan secara keseluruhan, FMM berharap kerajaan dapat memberikan penggantungan pembayaran levi untuk satu tahun bermula dari April 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pakej rangsangan ekonomi juga perlu dikaji semula dari semasa ke semasa agar impaknya turut dapat membantu syarikat besar.

Thian Lai berkata, ini kerana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergantung kepada syarikat besar sebagai sebahagian daripada keseluruhan ekosistem perniagaan.

FMM juga, katanya mengulangi beberapa cadangan kepada kerajaan dan berharap mendapat perhatian segera mengenai perkara itu.

“Moratorium juga harus diperluaskan kepada kemudahan perdagangan, overdraf dan pajakan.

“Menurunkan lagi kadar faedah bagi Kemudahan Bantuan Khas (SRF) sebanyak RM5 bilion untuk PKS dari 3.5 peratus kepada 2 peratus.

“Syarat pemberian pinjaman termasuk keperluan cagaran. Mengurangkan sistem birokrasi dalam akses kemudahan termasuk dokumen sokongan yang diperlukan dan syarat-syarat yang dilampirkan,” katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy