Print  |  Favourites

FMM gesa pembekuan pengambilan pekerja asing ditarik balik

FMM In The News: MALAY.NEWS, KUALA LUMPUR, Rabu, 7 April 2021 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor pembuatan.

Ini bagi menyokong peningkatan perniagaan dan membantu pemulihan industri memandangkan tempahan dan pengeluaran mula meraih momentum.

Presidennnya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata persekutuan itu juga merayu kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing bagi syarikat berasaskan eksport dan syarikat menyokong pasaran eksport terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sepanjang tahun lalu, katanya, industri pembuatan terpaksa menghantar pulang pekerja apabila mereka telah tamat tempoh permit bekerja.

Menurut Thian Lai, pekerja tidak dapat balik semula apabila sekatan pergerakan dikenakan di seluruh dunia dan sejak itu tidak dibenarkan memasuki semula Malaysia berikutan penularan pandemik dan penutupan sempadan.

“Meskipun industri berusaha mengisi kekosongan itu dengan pekerja tempatan, pekerja asing biasanya bekerja di bahagian pengendali am, yang majikan dapati sukar untuk diisi dengan rakyat tempatan berikutan sifat-sifat pekerjaan atau industri itu sendiri dan anggapan pekerjaan oleh penduduk tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, pengeluar telah mula menimbang penggunaan lebih proaktif teknologi digital dan automasi untuk mengurangkan densiti pekerja dalam operasi mereka termasuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Bagaimanapun, katanya, peralihan kepada lebih banyak proses berautomasi dan penggunaan digitalisasi akan mengambil masa dan memerlukan pelaburan besar dan dalam masa yang sama perniagaan perlu berkembang dan dikekalkan, jadi keperluan buruh mereka perlu terus disokong.

-BERNAMA


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy