Print  |  Favourites

FMM sokong laksana semula GST, syor peratusan lebih rendah

FMM In The News: BERITA HARIAN, Kuala Lumpur, Khamis, 2 Jun 2022 - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah rejim percukaian yang lebih telus dan berkesan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun kadarnya dicadang diturunkan ke paras lebih rendah yang tidak akan membebankan rakyat jika ia dilaksanakan semula selepas ini.

Mengemukakan pandangan itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pihaknya menyokong pelaksanaan semula GST, tetapi kadarnya perlu diteliti semula dan diturunkan berbanding enam peratus yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau mencadangkan kadar baharu serendah empat peratus yang diharapkan dapat membantu meningkatkan asas hasil kerajaan, sekali gus membantu mengurangkan paras hutang dan mempercepat pergerakan konsolidasi fiskal.  

"FMM berpandangan bahawa GST lebih telus dan lebih efektif berbanding SST. Berdasarkan kaji selidik kami mengenai pengenalan semula GST pada Mei 2020, sebanyak 499 syarikat yang memberikan maklum balas, menyokong kuat GST untuk menggantikan SST sekarang.   

"Ini kerana GST menawarkan struktur percukaian lebih adil dan ia menyingkirkan penjujukan dan pengkompaunan cukai yang biasa ditemui dalam rejim SST," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.   

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan kerajaan sistem GST dilaksanakan semula sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.  

Ismail Sabri menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo dilaporkan berkata, kerajaan ada mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup, iaitu dengan memperkenalkan semula GST yang dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.  

Mengulas lanjut, Thian lai berkata, dengan pelaksanaan GST kelak, ia akan memberikan fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai langsung, termasuk cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat, sekali gus menjadikan Malaysia lebih menarik dari segi destinasi perniagaan.  

Selain itu, katanya, pelaksanaan GST juga akan menjadikan harga eksport Malaysia lebih kompetitif di persada global kerana rejim percukaian sedemikian tidak dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan.  

"Perlu diingatkan bahawa fokus kerajaan sekarang untuk menghidupkan kembali ekonomi dan penggiat industri pembuatan kini perlu mengutamakan masa serta tenaga untuk membina semula perniagaan mereka.  

"Jadi pengenalan semula GST tidak boleh dipertimbang secara berasingan, sebaliknya dianggap sebahagian daripada penilaian holistik dalam sistem percukaian Malaysia serta mengambil kira kedudukan fiskal negara.  

"Ketika pengenalan asas meluas cukai kepenggunaan mungkin akan mengukuhkan posisi fiskal negara, pengenalan GST 2.0 mesti mudah diuruskan dan juga tidak meningkatkan kos menjalankan perniagaan," katanya.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy