FMM In The News: BERNAMA, KUALA LUMPUR, 28 Julai 2023 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik rangka kerja Ekonomi Madani untuk memajukan peranan penting sektor pembuatan dalam memenuhi aspirasi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi Asia yang terkemuka semula.
Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata beberapa inisiatif yang diketengahkan dalam rangka kerja ekonomi terbaru yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan dilaksanakan untuk memartabatkan sektor itu sebagai enjin pertumbuhan baharu negara.
“FMM menyokong sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia termasuk menjadi kuasa ekonomi serantau dan mewujudkan integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran.
“Sememangnya, sektor pembuatan mempunyai peranan besar di sini dengan memastikan Malaysia terus menjadi rantaian bekalan serantau pilihan dan hab pembuatan di rantauAsean,” kata Soh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Strategi dan pembaharuan yang digariskan untuk meningkatkan daya saing dan kemudahan menjalankan perniagaan termasuk tadbir urus yang baik adalah sangat kritikal untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan yang berterusan untuk pelaburan, katanya.
Sehubungan itu, Soh berkata FMM meminta kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama Antara Kementerian Ekonomi Madani dengan penglibatan sektor swasta bagi menyelaraskan semua strategi dan petunjuk prestasi utama (KPI) serta pelan tindakan.
“FMM bersetuju bahawa kunci kejayaan pelaksanaan Ekonomi Madani adalah pelaksanaan inisiatif dan pembaharuan yang berkesan dan cekap serta tadbir urus yang baik.
"Apa yang paling penting ialah perundingan pihak berkepentingan secara berkala untuk memastikan bahawa inisiatif itu seiring dengan keadaan ekonomi dan perniagaan semasa untuk industri kekal berdaya saing dan mampan serta terus berkembang," katanya.
-- BERNAMA