Print  |  Favourites

FMM: 63 peratus kilang mungkin terpaksa hentikan pekerja

FMM In The News: MALAYSIA KINI, Monday, April 20, 2020 - Kaji selidik oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati sebanyak 63 peratus syarikat perkilangan di negara ini mengakui mereka mungkin terpaksa memberhentikan pekerja susulan kemerosotan ekonomi yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

"Kesan ke atas beberapa syarikat lebih besar berbanding yang lain dan ada yang mungkin terpaksa memberhentikan pekerja mereka.

"Enam puluh tiga peratus menyatakan bahawa mereka mungkin terpaksa melaksanakan langkah-langkah penjimatan kos dengan 47 peratus terpaksa melakukannya dalam tiga hingga enam bulan akan datang," kata presiden FMM Soh Thian Lai dalam satu kenyataan.

Soh berkata, daripada syarikat-syarikat berkenaan, majoriti (78.7 peratus) mengatakan bahawa mereka harus membuang kira-kira 30 peratus pekerja sementara 27 peratus lagi mengatakan bahawa mereka perlu memberhentikan antara 21 hingga 30 peratus pekerja. Sebanyak 22 peratus lagi berkata, mereka perlu menamatkan perkhidmatan 11 hingga 20 peratus pekerja.

Tinjauan itu dilakukan antara 6 April hingga 10 April, membabitkan 319 syarikat.

Soh berkata, tinjauan itu juga mendapati syarikat-syarikat telah pun melakukan beberapa langkah penjimatan kos untuk mencuba dan mengekalkan pekerja.

Ini termasuk pembekuan jumlah pekerja (67 peratus), mengarahkan cuti tanpa gaji (59 peratus), mengurangkan hari kerja dalam seminggu (39 peratus) mengurangkan faedah yang dipersetujui dalam perjanjian kolektif untuk syarikat yang mempunyai kesatuan (34 peratus) dan mengurangkan jam kerja sehari (29 peratus).

"Majoriti syarikat yang mempunyai kesatuan (62 peratus) gagal berunding untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan kos demi menyelamatkan pekerjaan yang mengakibatkan 48 peratus daripada syarikat yang mempunyai kesatuan ini terpaksa memberhentikan pekerja sekiranya mereka menolak untuk menerima langkah mengurangkan kos seperti pengurangan hari atau jam kerja," katanya.

Soh berkata bahawa pemberian subsidi gaji selama tiga bulan yang diumumkan oleh kerajaan itu sangat melegakan tetapi mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan langkah selanjutnya.

Katanya, 15 peratus syarikat tidak dapat menuntut subsidi gaji untuk semua pekerja mereka kerana mempunyai purata 377 pekerja berpendapatan kurang dari RM4,000 dan purata 143 pekerja berpendapatan lebih RM4,000.

Subsidi upah adalah untuk pekerja yang berpendapatan kurang RM4,000 dan terhad kepada 200 pekerja.

Di bawah rancangan rangsangan tambahan kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), semua syarikat dengan pekerja tempatan yang memperoleh gaji bulanan RM4,000 akan layak mendapat subsidi gaji antara RM600 hingga RM1,200 bergantung pada saiz syarikat.

Bagi syarikat dengan lebih daripada 200 pekerja, kerajaan akan menawarkan RM600 sebulan untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan sehingga 200 pekerja.

Bagi syarikat yang mempunyai 76 hingga 200 pekerja, kerajaan akan menawarkan subsidi gaji RM800 sebulan untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan dan bagi syarikat yang mempunyai 75 pekerja atau kurang, mereka akan mendapat RM1,200 untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan.

Syarikat dalam kategori teratas juga mesti menyaksikan penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus sejak Januari untuk memenuhi syarat berkenan.

Soh berkata, 22 peratus responden tidak memohon subsidi gaji kerana tidak memenuhi kriteria pengurangan 50 peratus pendapatan tetapi menjangkakan kesan akan dapat dilihat ke atas jualan menjelang separuh kedua tahun ini.

Dia menambah bahawa 74 peratus responden berpendapat bahawa subsidi gaji tidak mencukupi untuk mengekalkan pekerja dalam tiga hingga enam bulan ke depan tanpa pemotongan gaji atau pemberhentian pekerja


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2020 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy