FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Sabtu, 12 Jun 2021 - Lanjutan sekatan pergerakan penuh selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun depan dikhuatiri memburukkan lagi sektor ekonomi negara, dan berisiko melumpuhkan perniagaan ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata lanjutan itu bakal menjejaskan kira-kira 80 peratus perniagaan yang berada dalam senarai perkhidmatan tidak penting, sekali gus tidak boleh beroperasi sejak 1 Jun lalu.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan digesa menyuntik dana menerusi pakej rangsangan berjumlah RM200 bilion, dengan RM30 bilion daripada jumlah itu dalam bentuk suntikan fiskal langsung, bagi menyelamatkan ekonomi, khususnya sektor perkilangan daripada lumpuh akibat lanjutan berkenaan.
Jelasnya, pakej rangsangan itu antara lain perlu merangkumi moratorium automatik, lanjutan Program Subsidi Upah, menggantung pembayaran cukai, pelepasan caj Kehendak Maksimum Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan beberapa insentif lain.
"Moratorium automatik perlu diberi kepada semua perniagaan yang terkesan sehingga Disember depan, selain melanjutkan Program Subsidi Upah untuk semua industri bagi tempoh sama dengan RM1,000 bagi seorang pekerja, sama ada tempatan atau warga asing.
"Kerajaan juga perlu menggantung pembayaran cukai tertentu seperti levi Pembangunan Sumber Manusia (HRD) dan melanjutkan tempoh bayaran sumbangan wajib sehingga Disember depan.
"Caj Kehendak Maksimum TNB untuk Mei perlu diberi pelepasan kerana pihak industri sudah mengurangkan tenaga kerja sehingga 60 peratus, selain diskaun tenaga 60 peratus untuk industri yang tidak dapat beroperasi langsung dan 10 peratus bagi yang beroperasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, mengumumkan fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang dijadualkan berakhir Isnin ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 Jun depan.
Thian Lai berkata, syarikat yang dibenarkan beroperasi turut berdepan nasib tidak menentu sejak sekatan itu dilaksanakan 1 Jun lalu, apabila kaji selidik FMM baru-baru ini mendapati 90 peratus daripada 428 responden mengalami pengurangan pendapatan.
Selain itu, katanya, 50 peratus responden mengaku pendapatan mereka berkurangan sehingga 30 peratus, manakala 15 peratus respondem mengalami pengurangan pendapatan sehingga 50 peratus.
"Hampir 40 peratus responden memaklumkan terpaksa memotong kos operasi, termasuk pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji untuk mengekalkan jumlah pekerja dalam tempoh sekatan pergerakan penuh," katanya.
Bagi mengurangkan impak lanjutan sekatan itu kepada industri, Thian Lai mencadangkan supaya kerajaan segera beralih ke fasa kedua, selain membenarkan seluruh syarikat dalam rantaian bekalan yang menyokong operasi perkhidmatan penting, untuk beroperasi.
Kerajaan juga wajar membenarkan kilang dalam perkhidmatan tidak penting dengan jumlah pekerja yang kecil dan boleh melakukan penjarakan fizikal, untuk beroperasi selama 24 jam dengan kapasiti 50 peratus.
"Jumlah pekerja yang melakukan penyelenggaraan di kilang juga perlu ditingkatkan kepada 20 peratus, berbanding 10 peratus ketika ini.
"Kerajaan juga perlu membenarkan pergerakan kargo import dan eksport ke dan dari pelabuhan, lapangan terbang serta gudang untuk semua sektor perkhidmatan tidak penting.
"Berdasarkan situasi pada Mac dan April tahun lalu, larangan untuk kilang menyelesaikan penghantaran import akan menyebabkan kesesakan di pelabuhan dan lapangan terbang, selain peningkatan kos terpaksa ditanggung pihak industri," katanya.