Print  |  Favourites

Ratifikasi CPTPP awal akan pacu pemulihan - FMM

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 26 Julai 2022 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) yakin ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dibuat pada tarikh seawal mungkin akan memacu lagi pemulihan pandemik yang dialami Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata sebarang kelewatan atau tidak menyertai CPTPP akan mengakibatkan kos peluang untuk Malaysia, dan perlindungan menyeluruh yang dijamin akan terlepas.

"Memandangkan empat tahun telah berlalu sejak perjanjian itu ditandatangani Malaysia pada Mac 2018, kita tidak mampu untuk menangguhkan lagi ratifikasi CPTPP.

"Jika tidak, kita menghadapi risiko dipinggirkan kerana jiran-jiran ASEAN kita telah bergerak maju ke hadapan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang memetik hasil dapatan analisis kos dan faedah (CBA) yang dijalankan ke atas CPTPP dan diterbitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam berkata, ia mendedahkan bahawa CPTPP memberikan manfaat ekonomi bersih kepada Malaysia.

Ini memandangkan Malaysia bersama-sama Brunei, Singapura dan Vietnam merupakan hanya empat negara di ASEAN yang mengambil bahagian dalam perjanjian itu, katanya.

Beliau berkata CBA itu mengesahkan bahawa CPTPP menawarkan peluang akses pasaran kepada tiga negara baharu iaitu Kanada, Mexico dan Peru, di mana Malaysia tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengannya.

"Berdasarkan data 2021 dari Bank Dunia, tiga pasaran baharu itu secara kolektif mewakili populasi lebih 200 juta dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih AS$3.5 trilion, iaitu 9.4 kali ganda lebih besar daripada ekonomi kita sendiri," katanya.

Beliau berkata di samping itu, penemuan tersebut berpandangan CPTPP akan membolehkan saluran penyumberan yang lebih luas untuk bahan mentah pada harga yang kompetitif bagi perniagaan di Malaysia, dan ini secara langsung akan meningkatkan daya saing dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

"Kami menyedari terdapat cabaran dalam melaksanakan perjanjian yang luas dan peringkat tinggi itu merentas pihak yang berbeza.

"Namun, memandangkan teras utama dan kepusatan perjanjian CPTPP adalah untuk memudahkan dan menggalakkan penyepaduan ekonomi, perdagangan dan pelaburan serantau, kami yakin kepentingan Malaysia dilindungi secara menyeluruh melalui pembentukan yang diperlukan dan peruntukan yang digantung dalam perjanjian itu, dan kelebihan tambahan untuk melindungi kepentingan domestik," katanya.

– Bernama


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy