Print  |  Favourites

FMM gesa sektor ekonomi dibuka ikut kadar vaksinasi

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Selasa, 10 Ogos, 2021 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya membuka semua sektor ekonomi dengan segera berdasarkan kadar vaksinasi syarikat.

Kegagalan berbuat demikian, tegas persekutuan itu, akan menyebabkan lebih banyak perniagaan terpaksa menghentikan operasi dengan kerosakan yang sukar diperbaiki terhadap ekonomi selain risiko terjerumus ke dalam kemelesetan berikutan tempoh pemulihan panjang.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata industri begitu bimbang dengan penutupan berpanjangan sektor tidak perlu yang kini berlanjutan selama hampir tiga bulan.  

"Walaupun FMM sedar dan menyambut baik kelonggaran sekatan kepada individu yang sudah divaksin sepenuhnya, kami menantikan kelonggaran sekatan serupa ke atas sektor perniagaan yang begitu diperlukan bagi menjamin kelangsungan memandangkan banyak yang sudah hampir runtuh disebabkan penutupan dilanjutkan," katanya dalam satu kenyataan.  

Beliau berkata, adalah terbukti di seluruh dunia bahawa pelaksanaan pantas vaksinasi adalah jawapan kepada pembukaan semula dan pemulihan ekonomi, tidak mengira ancaman berterusan peningkatan semula kes yang berpunca daripada lebih banyak varian baharu virus. 

"Dalam hal ini, dengan usaha untuk melonjakkan program imunisasi nasional, adalah penting supaya kerajaan menamatkan segera pengasingan sektor perlu dan tidak perlu memandangkan perniagaan adalah saling berhubung, berikutan kelangsungan operasi sektor perlu turut memerlukan sokongan sektor tidak perlu dari segi input dan perkhidmatan kritikal. 

"Banyak usaha, masa dan sumber kewangan digunakan oleh majikan untuk meningkatkan tahap vaksinasi syarikat kerana mereka memperakui ia satu-satunya tiket mengembalikan operasi perniagaan kepada normal. 

"Justeru, FMM menegaskan sekali lagi gesaannya kepada kerajaan supaya segera membenarkan semua sektor ekonomi meneruskan operasi mengikut kadar vaksinasi syarikat dengan pematuhan ketat berterusan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta saringan berkala pekerja.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2021 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy