Print  |  Favourites

Kembalikan GST pada 2024, kata FMM

FMM In The News: FREE MALAYSIA TODAY, PETALING JAYA, Khamis, 5 Januari 2023 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan memperkenalkan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjelang 2024, bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ketika ini.

Presiden FMM, Soh Thian Lai, menggesa kerajaan memasukkan GST dalam bajet 2023 yang akan disemak untuk dilaksanakan tahun depan.

Soh dalam kenyataan berkata, GST akan membantu negara meningkatkan ruang fiskal bagi berdepan cabaran suasana ekonomi yang mencabar sementara membantu menguruskan hutang yang tinggi.

Katanya, cukai itu perlu dilaksanakan dengan kadar yang tidak membebankan rakyat dan pada masa sama membantu Putrajaya meluaskan sumber pendapatan.

Tambahnya, ini akan mempercepatkan pengurangan defisit fiskal dan secara keseluruhan merendahkan nisbah hutang kerajaan.

“Sistem cukai yang lebih meluas ini akan meningkatkan cukai secara tidak langsung, ia akan memberi lebih keanjalan kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai secara langsung (cukai pendapatan peribadi dan cukai korporat) untuk menjadikan Malaysia destinasi perniagaan yang lebih menarik,” katanya.

Soh berkata, GST adalah struktur cukai lebih adil yang menghapuskan cukai bertindih dan tambahan biasanya ada dalam SST.

Katanya, kajian bersama dengan Institut Kajian Ekonomi malaysia (MIER) pada Ogos lalu mendapati 74% responden menyokong GST berbanding SST.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar 4%, mengurangkan cukai korporat secara keseluruhan kepada 20%, dan memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikecualikan cukai.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan berkata, kerajaan mengkaji cara terbaik untuk mengurangkan bajet defisit yang dianggarkan pada 5.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk 2022.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak akan mengenakan cukai baharu atau Putrajaya juga tidak berbincang untuk memperkenalkan semula GST.

GST pada kadar 6% kali pertama diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015.

Ia ditangguhkan pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan dan diganti semula oleh SST pada 1 Sept 2018, oleh kerajaan yang ketika itu diketuai Pakatan Harapan.

Kadar semasa cukai jualan adalah 5% hingga 10% manakala cukai perkhidmatan adalah 6%.





Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2022 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy