Print  |  Favourites

Komuniti perniagaan berharap Anwar segera bentuk Kabinet

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 24 November 2022 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membentuk Kabinet dengan seberapa segera selain memastikan kesemua langkah serta dasar, termasuk Bajet 2023 dapat dilaksanakan dengan dalam tempoh terdekat.

FMM berkata, tindakan sedemikian penting untuk membantu sektor ekonomi serta rakyat, khususnya dalam tempoh mencabar seperti sekarang.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata FMM juga berharap sokongan berterusan serta penekanan dari segi daya saing dan pembentukan nilai mampan menerusi aktiviti-aktiviti pengeluaran yang merupakan teras pertumbuhan ekonomi, terutama ketika pandemik.

"Persekitaran peraturan yang mesra perniagaan akan memudahkan proses menjalankan perniagaan selain memastikan industri kekal kompetitif, mampan dan terus mencatat pertumbuhan.

"Ini (bagaimanapun) akan hanya dicapai jika dasar-dasar dan peraturan itu mudah, lebih telus, boleh diharapkan, konsisten serta adil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kemajuan masa depan, Thian Lai berkata adalah penting untuk kerajaan baharu bertindak memperkukuh asas-asas ekonomi termasuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan yang disifatkannya sebagai halangan utama terhadap pemulihan perniagaan.

"Perkara asas bagi komuniti perniagaan adalah keperluan meletakkan semula keyakinan terhadap pelabur asing dan domestik dengan menumpukan dasar-dasar yang tepat, mengukuhkan pasaran modal selain memastikan kestabilan ringgit.

"Pembaharuan institusi turut menjadi teras pemulihan ekonomi dengan tumpuan berterusan terhadap kecekapan pentadbiran serta memastikan tahap integriti yang tinggi. Ini juga penting bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan tumpuan bagi meningkatkan kuasa membeli serta menurunkan kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata, FMM berikrar untuk bekerjasama erat dengan Kabinet baharu dalam usaha menghidupkan semula ekonomi Malaysia selain membolehkan industri kembali di kedudukan berdaya saing di pasaran global manakala Malaysia terus menjadi destinasi pilihan untuk tujuan pelaburan.

Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau SAMENTA berkata, Anwar telah terbukti sebagai rakan baik dan penyokong setia kelompok niaga itu dan antara pembela PKS paling lantang bersuara semasa pandemik, sama ada di dalam mahu pun luar Parlimen.

"Kami berharap sebagai Perdana Menteri, beliau akan terus menyokong kesemua sejuta PKS di negara ini," kata Pengerusinya, Datuk William Ng.

Beliau berkata, adalah penting bagi kerajaan baharu ini mengutamakan tiga isu utama iaitu mengeluarkan Malaysia daripada perangkap negara membangun dengan menumpukan industri dan sektor serta membina ekosistem PKS yang kukuh.

"Kedua, memperkenal tadbir urus dan amalan kawal selia baik (GRP) untuk membina semula keyakinan pelabur asing dan domestik (dengan penekanan) bahawa Malaysia adalah ekonomi berasaskan peraturan, telus serta berintegriti.

"Ketiga, mengimbang semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan agenda sosioekonomi untuk membela kumpulan terpinggir yang tanpa menyekat persaingan," katanya.

-BERNAMA


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur.