Print  |  Favourites

Kuota 80:20 pekerja tempatan asing ditangguh sementara

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, 18 Julai 2022 - Penangguhan sementara selama dua tahun syarat bagi syarikat pembuatan mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing memberi kelegaan kepada komuniti perniagaan di tengah-tengah kekurangan tenaga kerja dan peningkatan kos operasi.

Komuniti perniagaan yang terdiri daripada 51 organisasi industri, persatuan perdagangan dan dewan perniagaan menyokong keputusan kerajaan, khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), untuk menangguhkan pelaksanaan nisbah 80:20 yang telah digunakan sebagai kuota penentu pekerja asing baharu bagi sektor pembuatan sejak pemansuhan pembekuan pengambilan pekerja asing mulai 15 Februari 2022.  

"Penangguhan peraturan ini, yang kami akui adalah langkah sementara selama dua tahun, sudah tentu memberi kelegaan kepada komuniti perniagaan berikutan kekurangan tenaga kerja yang teruk.  

"Perniagaan juga kini berada di bawah tekanan yang sangat besar untuk mengekang kos operasi yang tinggi dengan tekanan inflasi yang semakin meningkat susulan gangguan rantaian bekalan global akibat pandemik, ketegangan geopolitik, harga tenaga yang melambung tinggi, kenaikan kadar pengangkutan serta faktor kos tempatan akibat daripada kenaikan gaji minimum, kos tenaga dan kelemahan ringgit," kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai yang mewakili komuniti perniagaan yang menyokong itu dalam satu kenyataan.  

Soh menegaskan komuniti perniagaan tidak melebihkan pekerja asing berbanding warga tempatan dan usaha mengisi jawatan kosong dengan penduduk tempatan sentiasa menjadi keutamaan.  

Beliau berkata, menggaji pekerja asing bukanlah murah dan mudah dengan dasar tenaga kerja yang sentiasa berubah serta tuntutan piawaian buruh antarabangsa. 

Katanya, realitinya, syarikat tidak dapat memperoleh bekalan tenaga kerja tempatan mencukupi, terutamanya pekerja am kerana penduduk tempatan tidak bersedia untuk mengambil jawatan sedemikian. 

Jelasnya, banyak perkembangan telah berlaku di negara ini, terutamanya dalam sistem pendidikan yang membolehkan pelajar untuk merebut peluang yang lebih tinggi dengan kelayakan mereka, justeru, kekurangan tenaga kerja di peringkat kedai masih tidak dapat dipenuhi. 

"Industri, terutamanya yang sememangnya memerlukan tenaga kerja, telah gigih berusaha untuk mengambil pekerja tempatan bagi jawatan pekerja am dengan menawarkan saraan dan manfaat yang lebih tinggi. Malah, ada syarikat yang sanggup membayar yuran carian untuk pembekalan pekerja tempatan," katanya. 

Mengulas lanjut, Soh berkata, adalah diakui bahawa tidak semua jawatan tenaga kerja tradisional boleh digantikan dengan automasi, justeru akan terus ada permintaan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja. 

Oleh itu, beliau berkata, permintaan terhadap pekerja tingkat kedai tidak boleh disamakan dengan kekurangan usaha oleh industri untuk automasi. 

Sebenarnya, proses untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing melalui automasi sudah dijalankan tetapi ia adalah proses beransur-ansur yang mesti terus disokong oleh kerajaan, katanya. 

"Komuniti perniagaan akan terus melakukan bahagian kami untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat untuk negara. Pada masa yang sama, kami mengharapkan sokongan yang sama daripada kementerian dan agensi kerajaan lain untuk mencontohi kebijaksanaan dan inisiatif mesra perniagaan MITI supaya secara bersama-sama, kita akan mengharungi tempoh yang mencabar ini sebagai Keluarga Malaysia," katanya



Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy