Print  |  Favourites

Kilang bukan punca utama jangkitan, kata FMM

FMM In The News: FREE MALAYSIA TODAY, PETALING JAYA, 27 Jun 2021 -  Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menafikan industri pembuatan menjadi penyumbang besar kes jangkitan Covid-19.

Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata hanya 147,040 daripada 662,457 kes kumulatif yang direkodkan setakat 14 Jun yang melibatkan kluster tempat kerja, manakala daripada jumlah itu hanya 95,156 melibatkan sektor pembuatan.

Katanya, ini membuktikan kluster kilang bukanlah punca utama jangkitan.

Malah, tambahnya, data Kementerian Kesihatan sendiri menunjukkan bahawa jangkitan sporadik membentuk jumlah kes yang lebih besar tahun ini setakat 19 Jun.

“Ini adalah kes yang dikesan dalam masyarakat dan tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kluster sedia ada,” katanya.

Susulan itu, katanya, jangkitan mungkin dikesan di tempat kerja sedangkan kehadiran virus dalam masyarakat termasuk kes asimptomatik bererti ia mudah menembusi kilang walaupun SOP dipatuhi dengan ketat.

Susulan itu, beliau mengulangi gesaannya supaya kerajaan mempercepatkan vaksinasi untuk sektor pembuatan yang dilihat turut dapat menghapuskan risiko jangkitan di tempat kerja, seterusnya mempercepatkan pemulihan perniagaan.

Selain itu, Soh turut memberi amaran lanjutan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara mungkin mengakibatkan penutupan perniagaan dan pemberhentian pekerja.

Katanya, kebanyakan syarikat kini kekurangan wang dan tidak lagi dapat menjalankan operasi tanpa aktiviti perniagaan dibenarkan, terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Soh juga berkata lanjutan sekatan akan menjejaskan daya saing Malaysia sebagai hab pembuatan serantau dengan pengekangan kegiatan ekonomi.

Katanya, walaupun sektor penting dibenarkan beroperasi, mereka menghadapi masalah pengeluaran kerana kapasiti tenaga kerja berkurang 60%.

“Selain kehilangan pelanggan mereka secara kekal, banyak pengeluar pengeksport juga semakin berdepan kesan dari segi undang-undang pelanggan turut terjejas akibat penangguhan dalam penghantaran barangan,” katanya.

FMM berkata pihaknya malah telah menerima maklum balas bahawa ada syarikat multinasional yang mengalihkan operasi keluar dari Malaysia.

“Oleh itu, sangat penting kerajaan mengkaji sektor-sektor yang dibolehkan beroperasi dengan pertimbangan sewajarnya diberikan kepada sektor berasaskan eksport,” katanya.

Soh berkata Pelan Pemulihan Negara tidak mempunyai arah untuk mengatur semula ekonomi dan membantu perniagaan semasa penutupan yang berpanjangan, seterusnya mengulangi seruannya untuk kerajaan mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM200 bilion.

“FMM meminta bantuan lebih langsung dari segi moratorium pinjaman automatik, subsidi gaji yang dipertingkatkan, potongan elektrik dan tenaga, sumbangan statutori yang dikurangkan atau ditangguhkan,” katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy