FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, 11 Januari 2021 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi penting beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua yang akan dilaksanakan bermula Rabu ini.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, kebenaran yang diberikan kerajaan itu juga seiring dengan permintaan industri kerana sektor pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi adalah penting dan menjadi nadi kepada enam negeri yang diletakkan di bawah PKP itu.
Beliau berkata, jika sektor itu ditutup sepenuhnya bagi enam negeri ini, ia akan memudaratkan sektor perniagaan, ekonomi dan kehidupan rakyat.
Bagaimanapun katanya, industri masih belum menerima perincian menyeluruh dan masih menunggu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan dan menjelaskan lebih terperinci mengenai operasi yang dibenarkan dalam tempoh PKP ini.
"Industri masih perlu menantikan pelepasan terperinci dari MITI. Kami harap ia dapat dilaksanakan dengan pantas agar industri mempunyai masa yang mencukupi untuk merancang dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang diperlukan.
"Paling penting adalah proses dan prosedur beroperasi perlulah lancar dan jelas," katanya kepada BH ketika dihubungi hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya petang tadi berkata, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa Rabu ini, jam 12.01 tengah malam hingga 26 Januari depan.
Katanya, enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.Selain itu, katanya, PKP Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain, iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak pula akan dilaksanakan PKP Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.
Pada Mac tahun lalu, kerajaan melaksanakan PKP buat kali pertama bermula 18 Mac membabitkan seluruh negara.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, industri juga perlu terus mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) serta pencegahan yang berterusan agar pandemik COVID-19 ini dapat diatasi.
Beliau berkata, walaupun di bawah SOP lebih ketat, ianya adalah keperluan asalkan aktiviti perniagaan dan ekonomi yang dibenarkan terus beroperasi,