Print  |  Favourites

COVID-19: Perniagaan dijangka pulih empat bulan hingga dua tahun - FMM

PRESIDEN Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

FMM In The News: BH ONLINE, Kuala Lumpur, Sabtu, 15 Ogos 2020 - Pemulihan perniagaan dijangka mengambil masa antara empat bulan hingga dua tahun bergantung kepada jenis sektor dan impak COVID-19 ke atas perniagaan itu, demikian kata Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata rantaian bekalan akan terus menerima kesan susulan kelewatan penghantaran daripada pembekal dan penghantar yang berdepan kenaikan kos logistik dan penghantaran, peningkatan harga bahan mentah serta kekurangan bekalan.

Beliau berkata, sektor pengilangan akan terus berpendirian pesimistik ke atas unjuran mereka bagi prospek perniagaan untuk tempoh berbaki tahun ini.

"Bagi kebanyakan syarikat, keseluruhan aktiviti perniagaan termasuk jualan domestik dan eksport bagi enam bulan akan datang dijangka rendah kerana mereka masih meneruskan pemulihan semula perniagaan," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai prestasi ekonomi Malaysia pada suku kedua 2020.

Pada suku kedua 2020, ekonomi Malaysia menguncup mendadak sebanyak 17.1 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat bagi membendung penularan virus COVID-19 di negara ini.

Ia adalah prestasi terburuk sejak Krisis Kewangan Asia itu sekali gus menjadikan Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) paling lemah dalam kalangan lima negara ASEAN.

Thian Lai berkata, FMM menyifatkan kuantum penguncupan ekonomi negara bagi suku kedua 2020 seperti diumumkan Bank Negara Malaysia pada Jumaat lalu, membuktikan impak buruk pandemik COVID-19 ke atas perniagaan.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP menyebabkan pengilang tidak beroperasi dengan sesetengahnya sehingga beberapa bulan bergantung kepada jenis aktiviti perniagaan mereka, yang mana menyebabkan kejatuhan mendadak dalam pendapatan, kerugian kewangan dan cabaran perdagangan yang teruk termasuk gangguan rantaian bekalan yang seterusnya mempengaruhi kelangsungan perniagaan, pekerjaan dan produktiviti.

Katanya, prestasi ekonomi pada suku kedua itu juga mencerminkan maklum balas ahli FMM dalam kaji selidiknya, yang mana ia melaporkan kejatuhan paras rekod dalam aktiviti perniagaan pada separuh pertama 2020 bagi pengeluar dengan penjualan merosot di peringkat tempatan dan eksport, menjejaskan penggunaan pengeluaran dan kapasiti.

"Sebahagian besar ahli (FMM) juga melaporkan bahawa pendapatan dan keuntungan terjejas secara negatif dengan sebilangan besar terpaksa mengambil beberapa langkah pengurangan kos termasuk pengurangan kos tenaga kerja," katanya.

Thian Lai berkata, FMM menjangkakan sebaik tempoh moratorium pinjaman bank secara automatik dan subsidi upah selama enam bulan berakhir September ini, kebanyakan syarikat dan perniagaan akan berdepan kos dua kali ganda yang memberi impak buruk terhadap inisiatif pemulihan perniagaan mereka.

Justeru, beliau berkata, bagi memastikan ekonomi mampu dipulihkan segera dan perniagaan dapat meningkatkan pendapatan mereka dan mengekalkan tenaga kerja, pihaknya meminta kerajaan meneruskan sokongan kepada industri dengan menyediakan lebih banyak inisiatif dan bantuan.

"Ini khususnya seperti perlanjutan moratorium bagi kemudahan perbankan dan pelaksanaan yang tepat pada masanya bagi Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020," katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories: