Print  |  Favourites

499 perniagaan sokong pengenalan semula GST: FMM

FMM In The News: SINAR HARIAN, Kuala Lumpur, Khamis, 2 Jun 2022 - Sebanyak 499 perniagaan memberi sokongan padu kepada pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 2.0 sedia ada memandangkan GST dilihat menawarkan struktur cukai yang lebih adil dan menghapuskan cukai bertindih dan tambahan yang biasanya ada dalam rejim SST. 

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berkata, respons itu adalah berdasarkan satu tinjauan yang dibuat oleh FMM mengenai pengenalan semula GST pada Mei 2020. 

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata, harga eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing di persada antarabangsa berikutan GST tidak dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan yang dieksport, manakala GST yang dibelanjakan ke atas input dapat diperoleh semula di sepanjang rantaian bekalan 

"Selain itu, memandangkan sistem asas cukai yang luas ini akan meningkatkan cukai tidak langsung, ia akan menawarkan fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengurangkan cukai langsung (cukai pendapatan individu dan cukai korporat) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang lebih menarik,” tambahnya. 

Memandangkan kerajaan kini menumpukan kepada pemulihan ekonomi, Thian Lai berkata, pengeluar perlu mengutamakan masa dan tenaga mereka untuk membangunkan semula perniagaan.

"Oleh itu, pengenalan semula GST tidak sewajarnya dipertimbangkan secara berasingan, sebaliknya sebagai sebahagian daripada penilaian holistik sistem cukai di Malaysia dan kedudukan fiskal negara.

"Walaupun pengenalan cukai penggunaan yang menyeluruh akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara, GST 2.0 harus mudah diuruskan, tetapi tidak meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Berikutan perubahan dan peralihan kepada GST 2.0 berkemungkinan adalah mencabar, beliau berkata, FMM menyeru kerajaan untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan melalui proses semakan semula yang terperinci bagi memastikan kejayaan pelaksanaan rejim cukai yang berkesan. - Bernama


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2022 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy