FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Rabu, 21 Disember 2022 - Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) perlu kekal di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersandarkan bidang kuasa menyeluruh dimiliki kementerian terbabit.
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata terdapat beberapa justifikasi mengenai keperluan mengekalkan FWCMS kekal di bawah KSM termasuk 'penjaga' kepada hal berkaitan sumber manusia dan buruh di negara ini.
"KSM seharusnya menjadi satu-satunya agensi bertanggungjawab dalam pengambilan dan pengurusan pekerja asing. Ia berfungsi sebagai payung yang menyelia, merancang, menguruskan dan membangunkan sumber tenaga kerja dan kementerian paling sesuai dalam memastikan kelancaran operasi pasaran buruh negara.
"KSM mempunyai kapasiti penguatkuasaan yang berkaitan untuk menguruskan semua hal buruh, yang mengikut undang-undang sedia ada termasuk pekerja asing. Di negara-negara seperti Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pengurusan pekerja asing berada di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga Manusia masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Thian Lai berkata, KSM telah mengambil alih pengurusan pekerja asing sejak Februari lalu berikutan penarikan balik pembekuan pengambilan pekerja asing selama hampir dua tahun akibat COVID-19.
Katanya, sejak dari itu, KSM berjaya menangani pelbagai isu awal termasuk gangguan FWCMS, desentralisasi temuduga menerusi Jabatan Buruh negeri dan penubuhan rasmi Pusat Sehenti Bahagian Pengurusan Migran KSM pada September tahun ini.
"Langkah mengembalikan pengurusan pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi satu keputusan merugikan dan sekali lagi akan menyebabkan banyak gangguan di sepanjang sistem pemprosesan.
"Selain itu, KSM adalah 'penjaga' Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang terpakai bagi kediaman pekerja termasuk pekerja asing. Jika KDN hendak mengambil alih, perundangan ini perlu dipinda atau dimansuhkan.
"Sebaik-baiknya, keseluruhan proses pekerjaan pekerja asing dilakukan menerusi satu sistem," katanya.
Beliau menjelaskan, pihak industri menyatakan kebimbangan berhubung isu FWCMS selepas timbul spekulasi bahawa ia akan ditempatkan di KDN.
"Justeru, FMM dan persatuan industri utama lain memerlukan jaminan bahawa sistem terbabit kekal di bawah KSM," katanya.
Thian Lai berkata, perubahan dasar dan pelaksanaan dilihat akan memudaratkan negara dan industri terutama dalam keadaan ekonomi semasa.
"Selama bertahun-tahun terdapat banyak 'flip-flop' dan perubahan mendadak kepada dasar pekerja asing yang membawa kepada pelaksanaan tergesa-gesa yang terbukti sangat merosakkan terutamanya pada keyakinan pelabur kerana perubahan dalam dasar membawa kepada banyak kekecewaan di kalangan majikan disebabkan kekeliruan dalam proses," katanya.