Print  |  Favourites

Perlu langkah lebih berkesan tangani COVID-19, elak PKP sepenuhnya - FMM

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, 25 Januari 2021 -Langkah menangani penularan jangkitan COVID-19 yang lebih berkesan diperlukan untuk mengelakkan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya dilaksanakan seperti mana yang pada Mac tahun lalu.  

Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata komuniti perniagaan perlu memainkan peranan penting untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik kerana sektor perniagaan tidak mampu lagi bertahan jika PKP sepenuhnya dilaksanakan semula.  

"Penutupan operasi perniagaan sepenuhnya kali kedua akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki dalam sektor perniagaan dan ekonomi dengan kesan buruknya akan memberi implikasi kepada kelangsungan perniagaan serta keselamatan pekerjaan.  

"Justeru, sangat penting bagi industri untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan memainkan peranan dengan mengambil tindakan proaktif serta pencegahan tambahan untuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama pekerja.

"FMM akan mengeluarkan satu lagi peringatan kepada semua anggota mengenai langkah tambahan yang harus diambil untuk melindungi tenaga kerja dan menangani penyebaran jangkitan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.  


Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, peringatan yang akan dikeluarkan kepada ahlinya merangkumi pelbagai aspek termasuk perhatian lebih jelas mengenai keadaan kehidupan pekerja dan pematuhan SOP memandangkan asrama dan penempatan pekerja dikenal pasti sebagai tempatan jangkitan COVID-19.  

Beliau berkata, anggotanya juga perlu mematuhi arahan kerajaan dengan semua pekerja asing perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum tarikh akhir bagi membolehkan protokol berikutnya diambil dalam memastikan tindakan pantas dapat dilaksanakan, manakala gangguan operasi dapat diminimumkan.  

Katanya, kapasiti pengangkutan pekerja perlu kekal pada 50 peratus atau ke bawah untuk memastikan penjarakan fizikal dikekalkan semasa mengangkut pekerja termasuk langkah pencegahan dan semua SOP lain.  

"Kami juga meminta anggota melantik pengurusan kanan syarikat untuk mengawasi pematuhan SOP dengan ketat semasa berada di tempat kerja (termasuk waktu rehat), di tempat penginapan pekerja dan semasa mengangkut pekerja.  

"Anggota juga diingatkan mengasingkan suspek atau kes positif COVID-19 di pusat khusus termasuk kuarantin kendiri daripada pekerja lain dan memaklumkan segera jabatan kesihatan berhampiran.  

"Mengehadkan pergerakan pekerja kepada paras minimum atau ketika hanya diperlukan dengan perjalanan harian perlu dihadkan dari rumah ke tempat kerja dan kembali semula ke rumah," katanya.  

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meminta syarikat tempatan dan asing lebih serius dalam membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 dan memutuskan rantaian pandemik bagi memastikan ekonomi terus dibuka.  

Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu kenyataan menjelaskan MITI meminta semua kekal fokus memainkan peranan bagi memastikan satu lagi PKP sepenuhnya dielakkan.  

Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche, menjelaskan organisasi itu menggesa komuniti perniagaan memandang serius penularan jangkitan yang berkaitan dengan pelbagai sektor iaitu perkilangan, tapak pembinaan dan tempat kerja.  

Terdahulu tular sepucuk surat EuroCham Malaysia kepada ahlinya yang diperoleh media menjelaskan dalam mesyuarat 'sangat penting' dan tergempar yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sven Schneider membincangkan mengenai jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja dalam sektor pembuatan.  

Hasil mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali mendedahkan kerajaan berkemungkinan melaksanakan penutupan aktiviti ekonomi sepenuhnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir 4 Februari ini jika jumlah kes jangkitan tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Surat bertarikh 23 Januari (semalam) mendedahkan Lokman Hakim memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) 'telah membuat pendirian jelas mengenai isu penutupan ekonomi sepenuhnya'.  

EuroCham Malaysia menambah syarikat juga diminta untuk mewujudkan ruang kuarantin asas di asrama pekerja yang disyaki mempunyai suspek kes, kontak rapat dan kes COVID-19 yang telah disahkan agar dapat diasingkan atau dikuarantinkan segera bagi mengurangkan penyebaran jangkitan.  

Bagaimanapun, EuroCham Malaysia tampil menjelaskan kandungan surat dalaman yang tular itu tidak menyatakan penutupan sepenuhnya aktiviti ekonomi akan dilaksanakan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua (PKP 2.0) berakhir pada 4 Februari ini.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories: