Print  |  Favourites

Lanjutan PKP penuh akan jejas sektor perkilangan - FMM

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 24 Jun 2021 - Lanjutan sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang dilanjutkan sehingga 28 Jun ini menjejaskan industri dan mempengaruhi daya saing perniagaan.

Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata tempoh lanjutan sekatan penuh di bawah Pelan Pemulihan Negara itu memberi kesan ke atas survival pekerjaan terutama di kalangan sektor tidak penting yang tidak dibenarkan beroperasi sejak empat minggu lalu.

"Sektor penting juga mengalami kesukaran memandangkan kapasiti mereka berkurangan dan operasi lain juga terjejas termasuk rantaian bekalan yang tidak diberi kebenaran beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

"Secara keseluruhan, industri terdiri daripada perniagaan penting dan tidak penting berada dalam kedudukan yang sangat tidak stabil dan rapuh dengan pendapatan dan aliran tunai terjejas teruk.

"Ini kerana mereka tidak dapat memenuhi rantaian bekalan global dan komitmen eksport dengan penghantaran pesanan ditangguhkan atau dibatalkan menyebabkan peningkatan tindakan undang-undang daripada pelanggan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, kos operasi perniagaan juga meningkat kerana kos tetap seperti upah, sewa, utiliti, pembiayaan dan lain-lain perlu dijelaskan walaupun tidak beroperasi atau tempoh operasi dikurangkan.

"Pemulihan perniagaan juga kebanyakan terjejas. Terdapat kebimbangan tinggi terhadap kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ke atas pelaburan langsung asing (FDI) kerana kebanyakan syarikat asing yang memiliki hab pembuatan di Malaysia tidak dapat menyokong rantaian bekalan global. 

"Amat menyedihkan juga, industri ini terus muncul sebagai kluster tempat kerja bagi penularan COVID-19 berdasarkan data oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 398,846 daripada keseluruhan 578,105 kes atau 69 peratus kes Covid-19 yang dicatatkan sehingga 19 Jun adalah kes sporadik iaitu kes yang dikesan dalam masyarakat dan tidak dapat dikaitkan dengan kluster sedia ada. 

"KKM juga memberi amaran kes sporadik juga masih meningkat dan apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes berkaitan tidak mempunyai simptom," katanya. 

Beliau menjelaskan, dengan wujudnya virus dalam masyarakat, ia menjadi sangat mudah meresapi ke sektor perkilangan khususnya kes tanpa simptom. 

"Apa yang mengecewakan adalah sumber jangkitan tidak dikesan daripada komuniti tetapi kluster tempat kerja dikatakan menjadi punca. 

"Ini seterusnya diklasifikasikan sebagai kluster tempat kerja oleh pihak berkuasa sekali gus salah faham bahawa tempat kerja adalah sumber utama jangkitan. 

"Kami perhatikan bahawa daripada 662, 457 kes positif kumulatif yang dilaporkan pada 14 Jun, hanya 147,040 berasal dari kelompok tempat kerja yang mana 95,156 kes daripada pembuatan. Angka rendah 14.36 peratus ini menunjukkan bahawa sektor pembuatan bukanlah sumber utama jangkitan," katanya. 

Thian Lai berkata, tidak diragukan lagi bahawa sektor pembuatan telah terbukti menjadi pemangkin pemulihan dan sumber utama pertumbuhan ekonomi keseluruhan ketika ini seperti yang ditunjukkan oleh prestasi ekonomi suku pertama dan juga ditunjukkan dalam statistik pembuatan April 2021. 

"Pada masa yang sama, keadaan ekonomi luaran bertambah baik dan kita mesti membenarkan aktiviti berkaitan eksport yang lebih tinggi untuk memudahkan pemulihan ekonomi kita sendiri di negara ini," katanya. 

Justeru, katanya, kerajaan perlu segera beralih kepada sekatan pergerakan penuh fasa kedua sejurus berakhirnya fasa pertama.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy