Presidennya, Datuk Soh Thian Lai berkata kerajaan boleh mencontohi Singapura dan Vietnam yang mengurangkan cukai korporat mereka bagi membolehkan pemain industri menikmati keuntungan tinggi dalam keadaan persekitaran sekarang.

"Dengan lebih banyak keuntungan, mereka (pemain industri) boleh membuat lebih banyak pelaburan," katanya pada taklimat media bersempena dengan pengumuman Kaji Selidik Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) bagi separuh pertama 2019, di sini, hari ini.

Belanjawan 2020 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt tahun ini.

Soh berkata 40 peratus daripada 509 responden berharap cukai korporat boleh dikurangkan dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata ahli-ahli persatuan itu memahami masalah yang dihadapi kerajaan, terutamanya dalam menangani hutang negara yang besar.

Sementara itu, ahli majlis FMM Tan Sri Saw Choo Boon mencadangkan peningkatan asas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam belanjawan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

“Atau mereka boleh mengurangkan perbelanjaan operasi dan memperuntukkan lebih banyak peruntukan bagi belanjawan pembangunan,” katanya.

Soh yang turut bersetuju dengan pandangan Saw berkata dalam tahun-tahun sebelumnya, hanya 17-18 peratus daripada belanjawan tahunan yang berjumlah RM250 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan.

“Sekiranya kerajaan boleh meningkatkannya kepada 24 atau 25 peratus, pada masa yang sama mengurangkan pembaziran atau ketirisan, ia sudah pastinya akan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Kaji selidik itu yang diadakan secara kerjasama dengan MIER, dijalankan dari 4 Jun-28 Julai, 2019 merangkumi 509 ahli FMM di seluruh negara. - BERNAMA