Print  |  Favourites

GST berupaya kukuhkan semula ekonomi negara

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Rabu, 26 Januari 2022 -  Pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berupaya mengukuhkan ekonomi dan memulihkan kembali persekitaran perniagaan, kata Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

"FMM mengalu-alukan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengenai kemungkinan melaksanakan semula GST dengan menyemak semula kelemahan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semasa dan menambah baik sistem GST yang dilaksanakan pada 2015," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, FMM sentiasa menjadi penyokong kuat rejim GST kerana berpandangan ia cukai yang lebih telus dan berkesan berbanding SST, malah lebih 160 negara melaksanakannya disebabkan struktur cukai yang adil.

"Paling penting, harga eksport Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa kerana tiada GST dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan dieksport, manakala GST yang dikenakan ke atas input dapat diperoleh semula di sepanjang rantaian bekalan," katanya.

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat oleh FMM pada Mei 2020 berhubung pengenalan semula GST, sebanyak 499 syarikat amat menyokong supaya cukai itu menggantikan SST yang dilaksanakan sekarang.

Pengeluar turut mengemukakan cadangan penambahbaikan yang lebih mesra pengguna dan perniagaan berbanding pelaksanaan GST kali pertama.

Ini termasuklah mengurangkan kadar GST kepada antara tiga hingga empat peratus bagi merangsang persekitaran perniagaan yang selanjutnya boleh menghasilkan pelaburan dan peluang pekerjaan lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Selain itu, turut dikemukakan adalah cadangan menjadikan barangan dan perkhidmatan perlu berkadar sifar, mengekalkan ambang pendaftaran GST pada RM500,000 serta meminimumkan penangguhan pembayaran balik, terutama kepada pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar memandangkan tempoh pembayaran antara enam hingga lapan bulan menjadikan GST sebagai beban cukai terkumpul.

Ahli FMM juga mencadangkan supaya kerajaan menjamin mekanisme yang teratur untuk memantau kawalan harga dan anti pencatutan di pasaran apabila sistem cukai berkenaan diperkenalkan semula.

"Perubahan dan peralihan boleh menjadi satu cabaran, justeru FMM menggesa kerajaan supaya berbincang dengan semua pihak berkepentingan sepanjang proses semakan semula ini yang penting bagi memastikan kejayaan memperkenalkan satu rejim cukai berkesan," katanya.

Tengku Zafrul baru-baru ini memberi bayangan pelaksanaan cukai kepenggunaan atau lebih dikenali sebagai GST berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Beliau mendedahkan, hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy