Print  |  Favourites

FMM mohon moratorium pinjaman dilanjutkan enam bulan lagi

FMM In the News: SINAR HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, Julai 20, 2020 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) memohon agar moratorium pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang akan berakhir pada September 2020 dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Dalam satu kenyataan hari ini, persatuan itu berkata, ini akan memberikan ruang yang sangat diperlukan sekali gus meringankan beban aliran tunai yang pada masa ini dialami oleh PKS dan individu.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, dengan melanjutkan tempoh moratorium itu, ia boleh menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang kini kurang mampu dari segi ekonomi terutamanya syarikat-syarikat yang bergelut untuk mempertahankan perniagaan masing-masing dan pekerja yang diberhentikan dan kehilangan sumber pendapatan.

“Pada masa yang sama, bagi memastikan ekonomi boleh pulih dengan cepat, moratorium yang dilanjutkan tempoh itu membolehkan PKS memanfaatkan pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) tanpa membebankan perniagaan dengan kos membayar hutang/pembiayaan dan secara tidak langsung mampu mengurangkan kos kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, banyak perniagaan terutamanya yang terbabit dalam produk dan perkhidmatan tidak penting hanya memulakan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun 2020.

Syarikat-syarikat pembuatan yang menyokong industri pembinaan dan hospitaliti juga terus merasai impaknya memandangkan sektor-sektor ini hanya boleh menyambung semula operasi selepas syarat-syarat tambahan dan langkah berjaga-jaga serta prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan, kata beliau.

"Sektor-sektor dan perniagaan ini memerlukan masa yang lebih lama untuk menangani kemusnahan Covid-19 dan impak ke atas perniagaan mereka,” kata beliau.

Soh menegaskan yang Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan signifikan kepada kedua-dua perdagangan domestik dan eksport, daripada pemberhentian sepenuhnya kepada pengurangan secara ketara aktiviti perniagaan yang menyaksikan cabaran sengit terhadap aliran modal dan tunai untuk syarikat-syarikat ini dan pekerjaan untuk pekerja mereka.

Beliau turut menyifatkan Program Subsidi Upah (PSU) yang setakat 6 Julai 2020 telah memanfaatkan 310,622 majikan membabitkan 2.48 juta pekerja sebagai petunjuk bahawa syarikat tidak mampu mempertahankan perniagaan dan perlu mendapatkan bantuan daripada kerajaan.

Program PSU yang telah dilanjutkan selama enam bulan kemungkinan berakhir pada September. Ini bertepatan dengan tempoh tamatnya moratorium pinjaman dan dibimbangi akan memberi masalah berganda ke atas perniagaan sekali gus menjejaskan daya mampan dan inisiatif untuk memulihkan perniagaan mereka. - Bernama


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy