Print  |  Favourites

Perjanjian perdagangan serantau pulih rantaian bekalan

FMM in The News: BH ONLINE, KUALA LUMPUR, Jumaat, 16 April 2021 -  Perjanjian perdagangan serantau yang dimeterai Malaysia dijangka menyumbang kepada pemulihan pengilang pasca pandemik dan mewujudkan rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pemeteraian Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) adalah penting kepada Malaysia.

Justeru, katanya, selepas kedua-dua perjanjian itu disahkan, pengilang menjangkakan manfaat diperoleh daripada pelbagai sumber import input perindustrian dan komponen.

CPTPP akan menghapuskan tarif hampir 96 peratus produk yang memasuki perdagangan antara wilayah dan RCEP pula berkemungkinan meliputi 90 peratus dari produk ini.

Selain itu, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mega ini akan melengkapi bukannya bersaing memandangkan RCEP dan CPTPP rangka kerja berstruktur bagi kerjasama untuk sektor pengilang tempatan dan negara peserta lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.  

Thian Lai berkata, integrasi ekonomi serantau lebih meluas di bawah RCEP dan CPTPP bukan sekadar memberi akses pengeksport Malaysia ke pasaran berkembang di seluruh Asia Pasifik, malah mampu meningkatkan import bahan mentah serta bahan berasas sumber semula jadi dari Amerika Latin dan Kanada.   

Pada masa yang sama, ia akan menyediakan pilihan yang lebih hampir dengan perairan yang strategik yang mana akan mengurangkan kos dan masa dengan syarikat dibenarkan mengimport atau mengeksport produk di mana saja di rantau Asia Timur tanpa perlu memenuhi keperluan berasingan bagi setiap negara, katanya.  

Beliau menjelaskan, FMM menyambut baik komitmen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk melengkapkan prosedur domestik bagi ratifikasi RCEP menjelang suku pertama 2022. 

Oleh kerana sangat mustahak untuk menstabilkan aktiviti pembuatan dan membangunkan semula rangkaian rantaian bekalan di rantau ini, FMM berharap kerajaan dapat mempercepat proses ratifikasi RCEP yang akan dilaksanakan pada tahun ini untuk memberi manfaat kepada perniagaan pada saat ini. 

W
alaupun kita menyedari bahawa tidak ada tarikh akhir bagi Malaysia untuk melengkapkan proses domestik bagi membolehkan ratifikasi CPTPP, FMM percaya ratifikasi lebih awal mungkin dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19," katanya.  

Thian Lai berkata, FMM adalah menyokong FTA kerana syarikat Malaysia akan menikmati manfaat dari pelbagai aspek.  

FTA akan menurunkan halangan perdagangan bagi memudahkan akses pasaran yang lebih besar.  

Perjanjian perdagangan juga dapat mengharmonikan penyelarasan norma perdagangan dan pelaburan bagi mengukuhkan rantaian bekalan.  

Malah, ia juga dapat memperkukuhkan pertukaran dan kerjasama bagi meningkatkan aktiviti ekonomi," katanya.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy