FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Selasa, 29 Jun 2021 - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan supaya memperluaskan pemberian moratorium selama enam bulan kepada semua jenis syarikat tanpa mengambil kira saiz.
Presidennya, Datuk Soh Thian Lai, berkata FMM percaya bahawa syarikat peringkat pertengahan sekali lagi dipinggirkan daripada moratorium pinjaman bank walaupun kumpulan itu juga berdepan kesukaran susulan tempoh sekatan pergerakan yang berpanjangan.
Namun, tegasnya, FMM sememangnya menyambut baik moratorium enam bulan yang diberikan kepada individu dan perniagaan mikro, selain untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang tertakluk kepada semakan dan kelulusan bank.
"Begitu juga dengan lanjutan dan penambahbaikan Program Subsidi Upah (PSU), dua bantuan langsung yang dipohon FMM sebelum ini berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
"Kedua-dua bantuan kewangan oleh kerajaan ini terbukti sebelum ini penting untuk membolehkan perniagaan mengekalkan operasi, pembiayaan dan pekerjaan.
"Kami amat percaya yang bantuan ini bersama-sama dengan pelbagai bantuan kewangan yang disasarkan kepada PKS Mikro adalah kritikal untuk memastikan perniagaan terus bertahan terutama sektor tidak perlu yang masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya dalam satu kenyataan.
Thian Lai berkata, industri turut menantikan beberapa penangguhan sementara dalam kos tenaga terutama elektrik dan gas kerana ia membabitkan jumlah kos yang besar bagi kebanyakan syarikat.
Katanya, industri akan terperangkap dengan tuntutan permintaan maksimum untuk elektrik dan elemen 'Take-Or-Pay' dalam perjanjian gas.
"Diskaun harga yang mana adalah serupa seperti diberikan kepada sektor pelancongan, peruncitan dan perhotelan amat dialu-alukan terutama bagi mereka yang berada di sektor tidak perlu," katanya.
Tambahnya, FMM sekali lagi mengulangi pendiriannya kepada kerajaan supaya membenarkan program vaksinasi yang serupa oleh klinik dan hospital swasta.
Katanya, FMM juga mahu Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) menerima pakai vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tanpa mengenakan syarat tambahan di peringkat kebangsaan supaya sektor swasta membeli vaksin yang tidak digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan mempercepat proses vaksinasi untuk semua.
"Kami juga mencadangkan supaya syarikat yang memilih untuk melaksanakan imunisasi swasta dibenarkan untuk menuntut kos dari levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan dibenarkan pemotongan cukai jika berkenaan.
"Kami juga amat menyokong keperluan menetapkan harga siling untuk imunisasi swasta bergantung pada kos vaksin untuk mengelakkan sebarang keuntungan daripada pihak terbabit," katanya.