Print  |  Favourites

Malaysia perlu bangunkan dasar, sistem ambil pekerja asing

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Selasa, 25 Januari 2022 - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berpendapat bahawa adalah kritikal dan perlu pantas untuk Malaysia mempunyai dasar pengambilan pekerja asing berdasarkan sistem yang menyokong keperluan berasaskan permintaan sektor dan syarikat bagi mempercepatkan pemulihan perniagaan dan ekonomi.

Dasar berkenaan mesti disokong oleh 'sistem yang boleh dipercayai, konsisten dan telus', kata FMM dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun FMM menyokong penghapusan kuota khas untuk pekerja asing kepada pihak-pihak tertentu, yang boleh membawa kepada 'kemungkinan penyalahgunaan dan penganiayaan' yang mengakibatkan kemasukan berlebihan dan kemungkinan isu pemerdagangan manusia kepada pekerja asing, operasi perniagaan dihalang oleh cabaran tenaga kerja yang teruk dalam jawatan tenaga kerja tidak mahir.

Kenyataan itu, yang ditandatangani oleh Presiden Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM sebelum ini menunjukkan bahawa agar industri, terutama syarikat berasaskan eksport, untuk kembali ke tahap pra-pandemik, keadaan buruh kemahiran am tahun ini mesti mempunyai lebih daripada 600,000 tenaga kerja asing.

Ini bagi mengisi kekosongan yang timbul akibat penurunan mendadak pekerja asing dalam sektor pembuatan pada 2021 berbanding sebelum COVID-19 pada 2019.

Ia berlaku kerana majikan tidak dapat menggantikan pekerja asing mereka yang pulang ke negara masing-masing.

FMM berkata, situasi itu mesti ditangani bagi membantu pemulihan dalam perniagaan, jika tidak, pemulihan boleh terjejas.

"Kami menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyatukan tindakan mereka dalam menyelesaikan, memudahkan dan meluluskan import pekerja asing dengan segera," kata Thian Lai.

"Landskap perniagaan pasca-pandemik sangat kompetitif," katanya sambil menambah syarikat berkemungkinan kehilangan pelanggan.

Mereka juga berisiko kemungkinan melaksanakan penempatan semula pangkalan pembuatan oleh syarikat utama.

FMM juga sedang mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai proses pengambilan pekerja asing termasuk perubahan yang diperkenalkan.

Ini termasuk prosedur operasi standard (SOP) mengenai kemasukan pekerja asing dan syarat baharu yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman dengan negara sumber.

Ia juga meminta butiran terperinci dikeluarkan lebih awal termasuk mengadakan pembabitan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam memastikan prosedur itu boleh dilaksanakan dan menghasilkan keadaan menang-menang untuk semua.

Thian Lai berkata, 'sebarang perubahan harus progresif dan meningkatkan kecekapan sistem' termasuk memindahkan keseluruhan proses secara dalam talian, sebaik-baiknya membabitkan hanya satu kementerian/agensi untuk kelulusan.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menangguhkan pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat kepada 1 Julai tahun ini.

Beliau juga sedang mendapatkan butiran terperinci levi pelbagai peringkat untuk memberi masa kepada industri merancang dan menyesuaikan diri dengan sistem baharu dan mengambil kira sebarang kenaikan kos.

-BERNAMA


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2022 Federation of Malaysian Manufacturers (7907-X)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy