Print  |  Favourites

Segera masuk Fasa 2 sebaik Fasa 1 berakhir, kata FMM

FMM In The News: FREE MALAYSIA TODAY, PETALING JAYA, Khamis, 24 Jun 2021 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa Putrajaya “segera” bergerak memasuki fasa kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) sebaik fasa pertama berakhir.

Presidennya, Soh Thian Lai, berkata fasa pertama PKP penuh yang sedang dilaksanakan amat mencabar apabila sektor perlu turut bergelut akibat kekangan dari segi kapasiti dan pengoperasian.

Katanya, secara keseluruhan industri itu dalam keadaan terdesak dan lemah, apabila pendapatan dan aliran tunai terjejas teruk apabila mereka gagal memenuhi kewajipan kontrak rantaian bekalan global.

Katanya, golongan itu turut berdepan masalah dengan pelanggan apabila pesanan tertangguh atau dibatalkan akibat masalah komitmen eksport.

“Memandangkan keadaan teruk dihadapi komuniti perniagaan akibat sekatan pergerakan kali ini, FMM merayu kerajaan segera bergerak memasuki Fasa 2 sebaik Fasa 1 berakhir,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga patut membenarkan lebih banyak sektor ekonomi perlu beroperasi, dan meningkatkan kapasiti pengoperasian kepada 80%.

Sektor ekonomi bukan perlu juga patut dibenarkan beroperasi, katanya, namun dengan tenaga kerja lebih sedikit untuk memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Sektor kritikal pula seperti yang berkaitan dengan besi, keluli dan simen, patut dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50%, katanya.

Soh berkata, serbuan oleh agensi penguatkuasaan juga perlu lebih diselaraskan supaya tidak mengganggu pengoperasian.

Menurutnya, kilang-kilang berdepan pelbagai serbuan oleh agensi penguatkuasaan berbeza yang juga mempunyai tafsiran berlainan mengenai SOP dan kelulusan diberikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Jika ini tidak dipertimbangkan, ia mampu mengakibatkan kerosakan kekal terhadap perniagaan serta ekonomi.”

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini menolak andaian bahawa Fasa 1 akan berakhir pada 28 Jun, sebaliknya berkata ia disasarkan tamat pada Julai.

Mengikut pengumuman sebelum ini, PKP kali ini dijadualkan berakhir pada Isnin.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy