Print  |  Favourites

FMM sokong laksana semula GST

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Isnin, 14 Disember 2020 - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik usaha kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan meneliti kelemahan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata harga eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif di peringkat global kerana GST tidak akan dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan yang dieksport manakala GST yang dikenakan ke atas input boleh dituntut semula bagi sepanjang rantaian bekalan.

"Memandangkan persekitaran domestik dan luaran yang lemah akibat impak pandemik COVID-19, kami percaya keutamaan harus diberikan untuk memperkukuh ekonomi dan memulihkan keadaan perniagaan supaya lebih memberangsangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu berunding dengan semua pemegang taruh sepanjang proses kajian itu yang amat penting bagi kejayaan langkah memperkenalkan sistem cukai yang berkesan.

Thian Lai berkata, FMM melakukan tinjauan berkaitan pengenalan semula GST pada Mei lalu membabitkan 499 syarikat yang sangat menyokong langkah itu dilaksanakan kembali selain menambah baik sistemnya supaya lebih mesra pengguna dan perniagaan.

Pada 10 Disember lalu, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai aspek untuk mengkaji pelaksanaan semula GST, termasuk kelemahan SST termasuk GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

Beliau berkata, kajian itu merangkumi kesan ke atas ekonomi, kos sara hidup, kesan cukai terhadap harga barang, serta kemampuan untuk menangani kegiatan ekonomi bayangan. - BERNAMA


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy