Print  |  Favourites

Kerajaan perlu bantu industri terjejas akibat sekatan penuh - FMM

FMM In The News:  BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Sabtu, 29 Mei 2021 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan memberi sokongan penuh kepada industri yang bakal terjejas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula Selasa ini.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata walaupun FMM sentiasa konsisten tidak bersetuju dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh kerana kesan kerosakan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat sukar dipulihkan, tetapi berasa lega susulan Kementerian Kewangan akan menyediakan pakej bantuan untuk sektor ekonomi dan rakyat terjejas.  

Beliau berkata, ini kerana impak teruk bakal berlaku kepada kelangsungan perniagaan dan pekerjaan, memandangkan banyak syarikat terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) masih dalam proses untuk pulih kesan pandemik berkenaan. 

"Sekiranya perniagaan tidak dibantu kerajaan, sekatan pergerakan penuh ini boleh menyebabkan mereka gulung tikar dan mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar dengan jumlahnya boleh mencecah satu juta atau lebih. 

"Dalam hal ini, FMM lega dengan kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam (kelmarin) yang menyebut Kementerian Kewangan akan menyediakan pakej bantuan untuk sektor ekonomi dan rakyat terjejas. 

"Kami ingin mengulangi pendirian kerajaan mesti segera menyokong industri dalam tempoh penting ini dengan bantuan dan inisiatif kewangan diperlukan termasuk memperuntukkan Dana Bantuan Khas untuk membantu syarikat, terutamanya PKS," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Thian Lai berkata, antara bantuan perlu diberikan ialah moratorium automatik sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih berkuat kuasa Selasa ini. 

Katanya, Program Subsidi Upah perlu dilaksanakan semula untuk semua industri sepanjang fasa tempoh sekatan pergerakan membabitkan jumlah antara RM800 hingga RM1,000 untuk setiap pekerja. 

"Selain itu, gantung atau lanjutkan tarikh pembayaran sumbangan wajib untuk operasi yang terkesan dengan sekatan pergerakan ini kecuali untuk sektor dan ekonomi perlu dibenarkan saja. 

"Mengecualikan caj Permintaan Maksimum oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk bulan ini memandangkan tenaga kerja industri sudah dikurangkan 60 peratus bermula 25 Mei lalu dan untuk tempoh sekatan pergerakan yang baru diumumkan, iaitu kemungkinan dari Jun hingga Julai depan. 

"Rebat elektrik juga perlu diteruskan untuk tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember ini," katanya. 

Thian Lai berkata, pihaknya menggesa industri perkilangan yang mempunyai kontrak pengeksportan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus walaupun mereka bukan termasuk dalam sektor ekonomi perlu. 

"Semua aktiviti import dan eksport perlu dibenarkan beroperasi termasuk pelabuhan, gudang dan semua aktiviti pengangkutan barangan," katanya.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy