FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Rabu, 28 April 2022 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bimbang kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 secara serta-merta mulai 1 Mei depan, mungkin mengakibatkan peningkatan kos yang mendadak dan menjejaskan pemulihan perniagaan untuk 2022.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kenaikan daripada RM1,200 atau RM1,100 kepada RM1,500 ketika ini menunjukkan peningkatan mendadak antara 25 hingga 36 peratus terhadap gaji pokok.
Katanya, ia akan memberi kesan kepada kos gaji secara keseluruhan dan memberi kesan ke atas kos perniagaan yang berpotensi menjejaskan pemulihan ekonomi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Thian Lai berkata, pihak industri telah berulang kali menegaskan bahawa ia menyokong semakan semula terhadap gaji minimum.
"Namun, berdasarkan faktor ekonomi semasa di mana persekitaran perniagaan terus berada dalam keadaan tidak stabil, pelarasan progresif dengan peningkatan RM150 pada 2022 dan kenaikan seterusnya sebanyak RM150 pada 2023 untuk mencapai gaji minimum RM1,500 akan lebih terurus untuk industri.
"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya di kawasan pinggir bandar akan paling terkesan dengan kenaikan mendadak kos gaji ini memandangkan hanya perusahaan mikro akan dikecualikan untuk tempoh lapan bulan sehingga bulan Disember 2022," katanya.
Katanya lagi, ekonomi juga akan menyaksikan aliran keluar bulanan sekitar RM500 juta dengan mendadak menerusi pengiriman wang oleh pekerja asing (berdasarkan 1.6 juta pekerja asing yang sah) tanpa kesan positif langsung kepada ekonomi tempatan.
"Ketika ini, industri sedang berhadapan dengan peningkatan kos apabila perniagaan terus membina semula prestasi mereka ke tahap seperti sebelum pandemik termasuk kos bahan mentah, kos logistik dan harga tenaga yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga komoditi.
"Akhirnya, kenaikan gaji minimum akan mendorong lagi kos pengeluaran dan membawa kepada tekanan inflasi yang lebih besar," katanya. - BERNAMA