FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, 2 Julai 2021 - Sektor pembuatan Malaysia berdepan risiko kehilangan momentum lebih besar jika peralihan ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi memberi isyarat peralihan ke fasa seterusnya PPN akan mengambil masa lebih panjang daripada rancangan awal kerajaan.
Beliau berkata, berlaku ketidakpastian mencapai kejayaan penurunan kes di bawah 4,000 sehari, sekali gus menafikan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.
"Jika ini berlarutan, ia akan membunuh sektor pembuatan. FMM meminta kerajaan agar melaksanakan pembukaan negeri atau kawasan tertentu yang mencatatkan jumlah kes yang rendah.
"Manakala, bagi kawasan yang tinggi, kekalkan dengan sekatan pergerakan penuh seperti dilaksanakan ketika ini.
"Ini bagi memberikan sedikit kelonggaran beroperasi tanpa perbezaan antara sektor penting dan tidak penting. Sekatan pergerakan penuh perlu dilaksanakan secara bersasar dan tidak menyeluruh, hanya tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu," katanya dalam satu kenyataan.
Thian Lai berkata, saranan FMM itu bagi membolehkan negara dapat beralih ke Fasa 2 PPN dengan lebih lancar dan mengelakkan kerosakan ekonomi yang lebih teruk.
Beliau berkata, sektor pembuatan sudah terjejas teruk disebabkan penutupan perniagaan dari sektor yang tidak penting dan pengurangan kapasiti operasi sektor penting.
Katanya, kerajaan juga dicadangkan mengkaji semula tiga ambang peralihan PPN bagi peralihan fasa ke fasa yang lebih pantas serta membuka lebih banyak sektor perniagaan.
"Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan termasuk pemberian vaksinasi kepada sektor swasta dan pembuatan.
"Perluaskan juga pusat pemberian vaksin dengan memberi kebenaran kepada hospital dan klinik swasta melaksanakan pemberian vaksin itu.
"Ujian saringan turut perlu dilaksanakan berterusan merangkumi semua golongan termasuk pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen," katanya sambil menambah bahawa strategi dan rancangan tindakan yang komprehensif dapat mengatasi kemungkinan penurunan COVID-19.