Print  |  Favourites

COVID-19: Majikan ambil langkah kurangkan kos - FMM

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Monday, April 20, 2020 - Majikan di Malaysia berkemungkinan mengambil langkah mengurangkan kos dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Ia bagi memastikan perniagaan kekal bertahan, selain jumlah tenaga kerja dapat dikekalkan.

Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dalam satu kaji selidik mendapati pengilang menghadapi tekanan luar biasa dari segi pendapatan dan kemampuan mengekalkan perniagaan di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, lebih 50 peratus responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik kesan PKP terhadap sektor pekerjaan menjelaskan pendapatan mereka menyusut lebih separuh.

Katanya, ia disebabkan ketidakupayaan perniagaan untuk mengekalkan operasi melebihi tiga bulan sekiranya PKP dilanjutkan dan keadaan tidak bertambah baik.

“Sejumlah 44 peratus responden mengatakan ia mampu mengekalkan perniagaan dengan jumlah pekerja semasa untuk tempoh tiga bulan, sementara 34.1 peratus hanya mampu menguruskan perniagaan untuk tempoh sebulan.

Kaji selidik yang dilaksanakan FMM bagi tempoh 6 hingga 10 April lalu itu disertai 419 syarikat dengan majoriti (89.5 peratus) daripada sektor pembuatan dan berkaitan pembuatan serta perkhidmatan sokongan.

Daripada keseluruhan responden, sejumlah 53.7 peratus terbabit dalam sektor barangan tidak penting dan tidak boleh beroperasi, manakala 63.9 peratus adalah dari sektor barang penting yang mendapat kelulusan operasi ketika tempoh PKP Fasa 1 dan 2.

Menurut kaji selidik itu, impak PKP ke atas pekerjaan bekerja dari rumah terbukti mencabar bagi kebanyakan syarikat memandangkan proses kerja tidak dapat dilaksanakan jarak jauh atau tidak bersedia dengan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pekerja bekerja dari rumah.

“Ternyata daripada kaji selidik ini menunjukkan 30 peratus yang memperoleh kelulusan operasi hanya dapat beroperasi dengan kekuatan kakitangan 50 peratus atau kurang.

“Bagaimanapun, majoriti 70 peratus responden terdiri daripada beberapa pengeluar produk penting yang tidak diberikan kelulusan dan pengeluar barangan tidak penting yang tidak dapat beroperasi atau menghadapi kesukaran bekerja dari rumah,” katanya.

Menurut FMM, meskipun langkah kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah disambut baik majikan, namun bukan perkara mudah.

“Sejumlah 78 peratus responden memohon atau merancang memohon subsidi. Namun had tuntutan tidak lebih 200 pekerja menyebabkan syarikat besar tidak layak termasuk pekerja dengan gaji melebihi RM4,000.

“Majoriti 74 peratus yang menyertai kaji selidik menyatakan subsidi upah adalah tidak mencukupi untuk mengekalkan pekerja dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang tanpa pemotongan gaji atau pemberhentian pekerja.

“Sejumlah 74 peratus memberitahu bahawa subsidi gaji harus meliputi semua pekerja tanpa mengira upah dengan beberapa menunjukkan bahawa siling ditetapkan pada RM8,000 dan bukannya RM4,000,” katanya.

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy