FMM In The News: BH ONLINE, KUALA LUMPUR, 22 Januari 2024 - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) kecewa dengan kenaikan kadar dan kekerapan keperluan pemeriksaan perubatan pekerja asing yang dibuat tanpa berunding dengan pihak berkepentingan terlebih dulu.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) telah mengabaikan keperluan asas untuk berunding dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan perubahan dasar yang juga adalah elemen kritikal Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP).
Beliau berkata, walaupun NPGRP mungkin tidak terpakai secara langsung kepada FOMEMA, tetapi sebagai syarikat yang mengendalikan sistem pemeriksaan kesihatan pekerja asing bagi pihak Kementerian Kesihatan, elemen asas dasar itu sepatutnya dipatuhi.
Katanya, ia khususnya keperluan untuk Analisis Impak Peraturan (RIA) yang akan dijalankan sebelum kenaikan kadar dan kekerapan yang akan mengakibatkan beban kawal selia lebih tinggi dan kos kepada perniagaan.
"Pelan komunikasi yang betul kepada pihak berkepentingan telah diabaikan kerana pengumuman mengenai perubahan itu hanya dibuat sehari sebelum berkuatkuasanya caj yang lebih tinggi dan kekerapan pemeriksaan perubatan dan hanya diterbitkan di laman web FOMEMA dan akaun media sosial tanpa sebarang rundingan awam atau komunikasi terlebih dulu dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.
"Ini telah menambahkan lagi kekecewaan komuniti perniagaan yang tidak menyedari perubahan itu. Pengilang secara keseluruhan kini akan menanggung kira-kira RM124.2 juta setiap tahun dalam kos pemeriksaan perubatan pekerja asing untuk kira-kira 600,000 pekerja asing dalam sektor itu susulan kenaikan serta-merta yuran 14 peratus hingga 15 peratus.
"Keperluan tahunan itu kini akan meningkatkan pemeriksaan perubatan sebanyak empat kali lagi untuk seorang pekerja yang berada di sini selama 10 tahun yang akan menambah kos tambahan kira-kira RM500 juta untuk sektor itu (berdasarkan 600,000 pekerja asing dalam sektor itu)," katanya dalam satu kenyataan.
Thian Lai berkata, kekerapan sebelum ini adalah mencukupi untuk memantau keadaan kesihatan pekerja dengan keperluan mandatori untuk tiga tahun pertama dan pemeriksaan berikutnya dilakukan pada tahun bergantian selepas itu.
Beliau berkata, peningkatan berterusan dalam beban kos kawal selia ke atas industri hanya akan menjejaskan lagi operasi perniagaan yang telahpub menghadapi masa mencabar dengan ketidaktentuan luaran yang semakin mendalam akibat gangguan geopolitik baharu dan peralihan berterusan dalam tatanan ekonomi global.
Katanya, adalah mustahak bagi pihak berkuasa untuk mengiktiraf kesan ekosistem kawal selia ke atas persekitaran perniagaan dan tidak membuat keputusan secara unilateral tanpa perundingan sewajarnya dengan pihak berkepentingan yang sedang menerima keputusan berat sebelah mereka.
"Industri mahu memahami rasional dan justifikasi perluasan senarai ujian yang diperlukan untuk pekerja asing yang mengakibatkan kenaikan kadar serta peningkatan kekerapan pemeriksaan perubatan kepada setiap tahun.
"Pada masa sama, industri juga cenderung untuk mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula peranan dan kaitan FOMEMA dalam sistem pengurusan pekerja asing," katanya.
Thian Lai berkata, FMM juga menggesa kerajaan supaya melaksanakan satu sistem dalam talian hujung ke hujung tunggal yang akan menangani kecekapan dan kelemahan dalam sistem pengurusan pekerja asing termasuk menghapuskan penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang tidak diperlukan sepanjang proses itu.