FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR Jumaat, 6 November 2020 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) melihat Belanjawan 2021 memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata bajet tahunan kerajaan itu bersifat pengembangan dengan penekanan kepada inisiatif untuk memerangi kesan pandemik termasuk peruntukan tambahan bagi Kumpulan Wang COVID-19.
"Walaupun terdapat kekangan ekonomi semasa, belanjawan telah memberi tumpuan dalam melindungi pekerjaan dan syarikat dengan membantu meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan perniagaan.
"Ia sekali gus dapat menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi lebih mampan dan adil," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Thian Lai berkata, belanjawan pembangunan berjumlah RM69 bilion dilihat sebagai angka tepat terutama untuk sektor pembuatan di mana belanjawan itu menyediakan pelbagai inisiatif dan insentif memperkasakan ekonomi.
"Ia juga menyediakan akses lebih besar untuk pembiayaan, pengembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menarik pelaburan, mendorong mempercepatkan penggunaan serta automasi digital.
"Belanjawan ini juga dapat memacu peluang pekerjaan menerusi kemahiran semula dan meningkatkan kemahiran pekerja termasuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selain turut mempromosikan penggunaan perkhidmatan dan produk tempatan," katanya.
Beliau berkata, lanjutan insentif cukai khas Pelan Jana Semula Ekonomi negara (PENJANA) sehingga 2022 dilihat langkah yang wajar untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) untuk memindahkan kemudahan pembuatan ke Malaysia.
"Kami berharap insentif ini dapat disalurkan kepada pelabur sedia ada yang telah mendapat kelulusan pengembangan di Malaysia pada tahun 2019," katanya.
Soh Thian Lai berkata, peruntukan RM100 juta untuk menyelenggara infrastruktur di taman perindustrian dapat meningkatkan daya saing industri dan tarikan kepada pelabur.
"Di samping itu, sektor pembuatan menerima peruntukan RM15 bilion dan RM3.8 bilion diperuntukkan untuk projek infrastruktur pengangkutan termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Projek Gemas-Johor Bahru dan Landasan Berkembar Lembah Klang serta pembinaan jambatan dan jalan raya di beberapa negeri akan meningkatkan jaringan perhubungan dari segi ekonomi.
"Cuma kita harap dana ini juga akan digunakan untuk meningkat dan menyelenggara jalan di kawasan perindustrian.
"Komitmen kerajaan untuk meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura juga akan meningkatkan hubungan pengangkutan serta hubungan perniagaan antara kedua-dua negara," katanya.