Print  |  Favourites

Pengesahan CPTPP bantu pengeksport Malaysia

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Selasa, 7 September 2021 -  Langkah meratifikasi atau pengesahan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berupaya membantu pengeksport Malaysia mendapat akses pasaran utama dalam kalangan negara yang menyertainya, kata Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata sebarang usaha ratifikasi awal itu akan membolehkan pengeksport tempatan kekal berdaya saing berbanding pesaing serantau selain dapat menyuntik keyakinan pelabur ke atas Malaysia.

"FMM adalah penyokong tegar perjanjian perdagangan bebas (FTA). Oleh itu, FTA sepertimana CPTPP apabila diratifikasi kelak, akan memberi sumbangan besar dalam usaha pengukuhan rantaian bekalan global dari Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Thian Lai juga yakin sejajar dengan usaha negara-negara dunia mempertingkat langkah pemulihan ekonomi masing-masing, adalah penting bagi perniagaan Malaysia memanfaatkan CPTPP untuk melonjakkan perdagangan kerana ia turut membuka akses terhadap tiga negara lain iaitu Kanada, Mexico dan Peru yang tidak menjalin sebarang FTA dengan Malaysia.

Menurutnya, tiga pasaran itu secara keseluruhannya mewakili seramai 199 juta penduduk dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$2.921 bilion atau 8.6 kali lebih besar daripada ekonomi Malaysia.

"Perjanjian itu dijangka menghapuskan tarif eksport Malaysia ke negara-negara CPTPP dan membolehkan perniagaan negara ini membekalkan barangan termasuk peralatan, komponen dan bahan mentah bagi rantaian bekalan global selain menyertai perkhidmatan sokongan domestik," katanya.

Menurut beliau, CPTPP juga membolehkan kalangan pengeksport Malaysia untuk meninjau potensi rantaian bekalan negara-negara lain yang menyertai pakatan itu.

-BERNAMA

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy