FMM in the news: Berita Harian, Rabu, 21 Ogos 2019 KUALA LUMPUR: Peserta industri perkilangan mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan pengurangan cukai korporat kepada 20 peratus, berbanding 24 peratus yang dikenakan pada masa ini.
Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai, berkata industri turut mengharapkan beberapa insentif cukai am, potongan dan pelepasan untuk sektor pembuatan, dapat diperkenalkan.
“Pada masa sama, undian ketiga dan keempat tertinggi dari kaji selidik Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) turut menyatakan keperluan levi lebih rendah bagi pekerja asing, serta menangani isu berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) termasuk penghapusan, pengurangan dan pengecualian SST,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan Kaji Selidik Perniagaan FMM-MIER, di sini, hari ini.
Kaji selidik dijalankan ke atas 509 responden daripada 16 industri sub-sektor antaranya makanan & minuman (F&B) dan tembakau, produk kimia, plastik dan perabot, kayu, kertas serta getah.
Pembentangan Bajet 2020 dijadualkan pada 11 Oktober ini.
Kaji selidik itu menjangkakan aktiviti perniagaan yang lebih perlahan dan berhati-hati pada separuh kedua 2019, dipengaruhi ketidaktentuan sentimen global termasuk perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berterusan.
Thian Lai berkata, indeks aktiviti perniagaan dijangka tidak berubah iaitu 101 dengan 29 peratus responden menjangkakan pengambilan dalam aktiviti perniagaan pada separuh kedua tahun ini, manakala 28 peratus menjangkakan sebaliknya.
“Indeks jualan domestik dijangka meningkat tujuh mata kepada 101 mata, sementara indeks jualan eksport susut empat mata kepada 101 mata, sekali gus menandakan petunjuk baik bagi jualan domestik untuk beberapa bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian turut menjangkakan prestasi lebih rendah bagi eksport, pengeluaran, penggunaan kapasiti dan pelaburan untuk tempoh berbaki enam bulan tahun ini.
“Jangkaan indeks bagi kos pengeluaran jatuh 14 mata kepada 134, menunjukkan aliran penurunan.
“Dijangkakan kos pengeluaran meningkat 43 peratus tidak lama lagi, susut daripada 53 peratus sebelumnya, manakala 48 peratus menjangkakan ia kekal pada separuh kedua 2019,” katanya.