FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Khamis, 4 Jun 2020 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan dapat menawarkan sokongan dalam pelbagai aspek bagi memulihkan perniagaan dan ekonomi di Malaysia.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata adalah penting bagi kerajaan untuk membolehkan industri meraih kembali kestabilan kewangan dan dapat menangani kemerosotan pendapatan perniagaan.
Justeru, katanya, Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan esok perlu mempertimbangkan untuk memberikan sokongan kewangan lebih besar kepada pemain industri pembuatan.
"Pemulihan dari impak COVID-19 perlu dilakukan cepat untuk mengelakkan kerosakan kekal pada ekonomi. FMM membayangkan pemulihan ini berada dalam dua fasa.
"Fasa pertama adalah untuk syarikat memulakan dan meningkatkan operasi sehingga mereka dapat mencapai kedudukan yang mapan dan stabil dari segi perniagaan dan kewangan.
"Fasa kedua pula adalah untuk syarikat mula mencapai kedudukan pra-COVID-19 dan berkembang. Pemulihan fasa pertama boleh memakan masa antara enam hingga 12 bulan bergantung kepada kesan yang mendalam terhadap industri sementara fasa kedua akan bermula dari 6 bulan dan seterusnya," katanya kepada BH.
Thian Lai berkata, FMM turut menggariskan beberapa inisiatif yang diperlukan peserta industri pembuatan merangkumi sokongan kewangan termasuk mempercepatkan penyaluran bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Katanya, kerajaan juga diharap dapat melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik kemudahan perdagangan mata wang asing, kemudahan overdraf dan pajakan yang sering digunakan dalam pembelian mesin dan peralatan.
"Kerajaan wajar mempertimbangkan penambahan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) kepada RM20 bilion dan mengurangkan kadar faedah kepada dua peratus atau sifar seperti yang disalurkan TEKUN Nasional kepada perniagaan mikro.
"Kerajaan juga perlu memperkenalkan Skim Jaminan Kewangan untuk syarikat merangkumi pembayaran modal tetap dan pembayaran pentadbiran terutama upah serta sewa bangunan dan bil utiliti," katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengawal kos menjalankan perniagaan dan operasi termasuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum, kadar sumbangan berkanun dan tarif pelabuhan.
Katanya, pemotongan cukai korporat kepada 20 peratus dan cukai pendapatan peribadi kepada lima hingga 10 peratus bergantung kepada jumlah pendapatan.