FMM In The News: HARIAN METRO, Kuala Lumpur, Rabu, 14 Julai 2021 - Tindakan menutup kilang bagi menangani pandemik Covid-19 bukanlah penyelesaian yang wajar malah akan merugikan ekonomi negara.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, semua pihak perlu memahami sumbangan industri pembuatan kepada ekonomi Malaysia selama ini.
"Jika semua kilang terpaksa ditutup, ia akan memberi impak yang hebat kepada ekonomi dan pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, industri pembuatan menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara dan ia terbukti melalui prestasi ekonomi negara pada suku keempat 2020, di mana pembuatan adalah satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif.
"Malah prestasi ini berterusan pada suku pertama 2021 dengan pertumbuhan yang lebih kukuh dengan pertumbuhan enam peratus.
"Sebagai pemangkin pertumbuhan negara dengan sumbangan sekitar 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta 86 peratus daripada jumlah eksport, sangat jelas bahawa sektor pembuatan mesti dibenarkan terus beroperasi," katanya.
Soh berkata, berdasarkan analisis FMM mengenai data rasmi yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dari 1 Jun sehingga 12 Julai 2021, kes baharu berdasarkan kluster adalah antara satu hingga 17 peratus daripada keseluruhan kes harian.
Beliau berkata, kes baharu kluster pembuatan dalam tempoh yang sama turut merekodkan peratusan yang rendah antara 0.3 peratus hingga 8.3 peratus.
Justeru katanya, sangat jelas bahawa kes jangkitan harian disebabkan kluster pembuatan adalah rendah.
Berdasarkan data kluster baharu yang dilaporkan setiap hari oleh KKM dari 1 Julai hingga 9 Julai 2021, kes daripada pembuatan hanya menyumbang maksimum 7.3 peratus keseluruhan kes harian.
"Walaupun harus diakui bahawa risiko jangkitan kilang tidak dapat dielakkan sepenuhnya ketika ini dengan peratusan kes sporadik yang tinggi dan virus yang sudah merebak dalam kalangan masyarakat.
"Dakwaan kegagalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan setiap kilang adalah kesimpulan yang sangat tidak adil.
"Ini kerana, peningkatan kes sporadik, menangani jangkitan ke kilang atau asrama menjadi lebih sukar untuk industri walaupun terdapat SOP dan langkah pencegahan ketat," katanya.