Print  |  Favourites

PKP: FMM mohon kerajaan benar pengilang produk beroperasi

FMM In The News: BERITA HARIAN, Kuala Lumpur, Khamis, April 9, 2020 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memohon kerajaan memberi kebenaran kepada pengilang produk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya ia dilanjutkan.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata persatuan itu meminta agar kelulusan operasi terhadap pengilang produk penting dilanjutkan untuk beroperasi pada kapasiti 100 peratus dan yang tidak penting pada kapasiti 50 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberikan kelulusan untuk pengeluaran barangan keperluan kritikal seperti barangan makanan, peralatan perlindungan peribadi seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman, farmaseutikal dan peralatan perubatan semasa ketika PKP.

Bagaimanapun, Thian Lai berkata, syarat PKP yang diperluaskan dan diperketatkan mulai 1 April 2020, menyebabkan beberapa pekerja syarikat yang diluluskan MITI sebelum pengumuman lanjutan PKP itu tidak dibenarkan pergi ke tempat kerja, termasuk beberapa kes pekerja yang ditangkap.

“Perkara itu berlaku walaupun pekerja menunjukkan bukti kenyataan media yang dikeluarkan oleh MITI pada 25 Mac terhadap semua kelulusan dilanjutkan sejajar dengan tempoh PKP yang dilanjutkan,” katanya.

Penguatkuasaan itu juga mengakibatkan pergerakan tidak dibenarkan di luar waktu PKP yang diperketatkan, justeru ia menjejaskan pekerja yang berkerja shif bagi syarikat yang mendapat kelulusan daripada MITI, katanya.

Beliau berkata, FMM bersetuju bahawa kilang beroperasi di bawah persekitaran yang sangat terkawal, di mana pergerakan pekerja dari rumah ke tempat kerja dan seterusnya mengehadkan pendedahan pekerja ke persekitaran di luar tempat kerja dan rumah mereka.

Selain itu, majikan sudah melaksanakan langkah kesihatan dan keselamatan yang sangat ketat di tempat kerja sejak penularan COVID-19 dan terus mematuhi syarat yang ketat, katanya.

Menurut Thian Lai, beberapa entiti perkilangan, yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan produk penting, tidak diberikan kelulusan untuk beroperasi, memandangkan mereka tidak berada di bawah kategori pengeluar produk penting.

Ia juga turut menghalang operasi pengilang yang diberikan kelulusan untuk beroperasi, katanya.

Pada 25 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan PKP selama dua minggu sehingga 14 April. - Bernama

Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy