Print  |  Favourites

Aktiviti perniagaan merosot enam bulan pertama 2021

FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Rabu, 1 September 2021 - Aktiviti perniagaan merosot pada separuh pertama tahun ini di tengah-tengah pelaksanaan sekatan pergerakan akibat COVID-19 yang memberi tekanan berterusan kepada sektor pembuatan.

Menurut Kaji Selidik Persekitaran Perniagaan FMM-MIER (FMM BCI) Edisi Ke-19, sektor pembuatan melaporkan bahawa aktiviti perniagaan merosot mendadak bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Kajian dwi tahunan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mendapati indeks aktiviti perniagaan umum berada pada 65 mata, merosot mendadak di bawah nilai ambang tahap keyakinan iaitu 100 mata dan kurang 36 mata daripada separuh kedua 2020.  

"Sejumlah 54 peratus responden melaporkan penurunan aktiviti perniagaan pada separuh pertama 2021 berbanding hanya 37 peratus pada enam bulan kedua 2020.   
"Jualan tempatan menunjukkan prestasi lebih buruk berbanding eksport pada separuh pertama 2021," katanya. 

Kaji Selidik FMM BCI meliputi 687 responden di seluruh negara dilaksanakan dari 16 Julai hingga 16 Ogos 2021. 

Menurut kaji selidik itu, penjualan lebih rendah mempengaruhi pengeluaran dan penggunaan kapasiti dengan indeks semasa berada di bawah tahap keyakinan dengan margin meluas berbanding separuh kedua 2020. 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata bagi tempoh separuh kedua tahun ini, persekitaran perniagaan dijangka kekal kurang memberangsangkan berikutan timbul ketidakpastian terhadap ekonomi dan prospek perniagaan pada masa depan. 

"Aktiviti perniagaan bagi separuh kedua 2021 dijangka kekal perlahan sebagaimana enam bulan pertama tahun ini. 

"Indeks untuk aktiviti perniagaan dijangka turun kepada 60 daripada 87 mata sebelumnya, dengan 55 peratus responden menjangka perniagaan mereka akan perlahan sepanjang tahun ini. 

"Hanya 15 peratus responden positif bahawa perniagaan mereka akan meningkat tidak lama lagi," katanya. 

Thian Lai berkata, jualan yang lemah turut menjejaskan prospek pengeluaran dan penggunaan kapasiti dengan kedua-dua indeks bagi indikator terbabit, masing-masing susut kepada 62 dan 60 mata. 

"Sektor pekerjaan dijangka mendatar dalam tempoh beberapa bulan akan datang, seperti yang ditunjukkan oleh indeks dengan jangkaan pekerjaan berada 87 mata, merosot di bawah nilai ambang tahap keyakinan kali ini. 

"Ini menunjukkan pekerjaan dalam sektor pembuatan sukar lebih sukar diperoleh dalam beberapa bulan mendatang. 

"Satu perempat daripada responden berhasrat mengurangkan tenaga kerja, sementara 12 peratus merancang meningkatkan jumlah pekerja dan baki 63 peratus akan mengekalkan tenaga kerja," katanya.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2023 Federation of Malaysian Manufacturers Co. Registration No. 196801000309 (7907-X) 
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy