FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Rabu, 7 Julai 2021 - Pegawai penguatkuasa dirayu supaya bertimbang rasa ketika melakukan operasi pemantauan dan pemeriksaan syarikat beroperasi di bawah Fasa Satu dan Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) , Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pegawai penguatkuasa seharusnya tidak hanya mencari lebih banyak kesalahan syarikat atau industri ketika sektor perniagaan negara ini berdepan situasi mencabar.
Beliau berkata, pendekatan mendidik dan menasihat perlu dilakukan agensi penguatkuasa, berbanding bertindak secara agresif mencari kesalahan, mendenda serta merta tanpa memberi peluang dan masa kepada syarikat memperbaiki kesalahan.
Katanya, FMM menerima aduan ahli mengenai sikap pasukan penguatkuasa begitu tegas dan mengeluarkan denda atas kesalahan kecil atau tidak sengaja gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Sangat sedikit rasa empati ditunjukkan kepada syarikat yang bertungkus lumus mengekalkan operasi, sebaliknya lawatan pemeriksaan dibuat bertujuan mencari kesalahan paling kecil, dengan tiada pertimbangan kaitan kesalahan dengan tujuan lawatan iaitu mengekang penularan COVID-19.
"Tiada juga peluang diberikan memperbetul kesalahan dan membuat penilaian semula sebelum denda dikenakan.
"Terdapat isu serbuan yang tidak diselaraskan, selain interpretasi berbeza mengenai SOP dan kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak 1 Julai lalu, kerajaan menggerakkan Op Patuh di seluruh negara membabitkan agensi di 21 kementerian di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam memastikan pematuhan SOP Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam PPN dipatuhi.
Thian Lai berkata, antara ketidakpatuhan kecil atau tidak sengaja dilakukan industri adalah penyediaan cecair pembasmi kuman yang tidak mencukupi di pelbagai lokasi kilang, gagal menandakan pintu atau laluan masuk dan keluar.
Katanya, ia juga seperti gagal meletak sekatan di bahagian yang tidak beroperasi, lalu didakwa hanya sekadar alasan industri selepas penguatkuasa tidak dapat mencari kesalahan lain berkaitan operasi perniagaan dalam tempoh fasa PPN dan PKPD.
Beliau berkata, data Kementerian Kesihatan menunjukkan kilang bukan punca utama jangkitan COVID-19, sebaliknya majoriti kes pada tahun ini disebabkan kes sporadik yang bukan berpunca daripada kluster termasuk kluster tempat kerja.
"Kluster tempat kerja akan wujud kerana virus itu kini dalam komuniti. Disebabkan keperluan menyokong ekonomi dalam situasi ini, tempat kerja terutama berkaitan sektor perkilangan akan terus beroperasi.
"Justeru, pengurusan bagi menghalang kemasukan jangkitan ke tempat kerja atau asrama pekerja adalah lebih mencabar untuk industri, walaupun SOP dan langkah pencegahan dilaksanakan," katanya.
Thian Lai berkata, FMM turut berharap kerajaan mempercepat vaksinasi terutama di kawasan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur, melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) supaya COVID-19 dapat segera dibendung.