Lonjakan ranking daya saing akan perkukuh keyakinan pelabur - FMM

June 23, 2026
Head Office, KL

FMM In The News: BH ONLINE, 19 Jun 2026

KUALA LUMPUR: Pencapaian Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia Institut Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2026 memberi isyarat positif kepada sektor pembuatan negara, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata prestasi itu penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan langsung asing (FDI), selain menyokong integrasi negara dalam rantaian bekalan serantau dan global.

Beliau berkata kedudukan terbaharu itu mencatat lonjakan lapan anak tangga berbanding kedudukan ke-23 pada 2025, sekali gus meneruskan peningkatan berterusan daripada tangga ke-34 pada 2024 dalam kalangan 70 ekonomi yang dinilai.  

Katanya, FMM menyifatkan peningkatan itu sebagai pencapaian paling kukuh Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana mencerminkan hasil usaha reformasi berterusan serta kerjasama sektor awam dan swasta dalam memperbaiki persekitaran perniagaan negara.  

"Keputusan ini membuktikan bahawa langkah pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan bersama sokongan sektor swasta semakin membuahkan hasil. Ia bukan sahaja meningkatkan daya saing negara, malah memperkukuh keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia," katanya dalam kenyataan.  

Chor Kok berkata bagi sektor pembuatan, kedudukan daya saing lebih tinggi memberi impak langsung kepada daya tarikan Malaysia sebagai hab pelaburan dan pengeluaran bernilai tinggi.

Beliau menjelaskan menurut laporan IMD, Malaysia mencatat kedudukan keempat dunia bagi prestasi ekonomi, manakala kecekapan kerajaan melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-14, kecekapan perniagaan meningkat 16 anak tangga ke tangga ke-16, dan infrastruktur bertambah baik dua anak tangga kepada kedudukan ke-33.

Pada peringkat subfaktor, kedudukan perdagangan antarabangsa Malaysia mengukuh ke tangga kelima dunia, manakala ekonomi domestik meningkat empat anak tangga ke kedudukan ke-11, mencerminkan daya tahan ekonomi negara serta prestasi perdagangan yang terus kukuh.

Katanya, pencapaian dalam perdagangan antarabangsa amat signifikan kepada ahli FMM yang bergantung kepada rangkaian perdagangan global yang terbuka dan cekap bagi mendapatkan bahan mentah serta mengembangkan pasaran eksport.

"Keupayaan Malaysia mengekalkan kedudukan kukuh dalam perdagangan antarabangsa memberi kelebihan kompetitif kepada sektor pembuatan berorientasikan eksport, khususnya dalam persekitaran perdagangan global yang semakin mencabar," katanya.

Chor Kok berkata pencapaian itu selari dengan aspirasi kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2033.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha berterusan masih diperlukan bagi meningkatkan kecekapan logistik, pembangunan infrastruktur, kemudahan perdagangan, kesiapsiagaan tenaga kerja dan kos menjalankan perniagaan.

Katanya, penambahbaikan dalam kesalinghubungan pengangkutan, prestasi pelabuhan, infrastruktur digital, kebolehpercayaan bekalan tenaga, kepastian peraturan serta kelulusan projek lebih pantas akan menjadi faktor penting dalam mengekalkan momentum daya saing negara.

FMM katanya akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan pelbagai platform industri bagi menyampaikan maklum balas berasaskan data serta cadangan dasar yang praktikal.

"Kerjasama berterusan sektor awam dan swasta amat penting untuk menterjemahkan peningkatan daya saing ini kepada pelaburan lebih tinggi, peningkatan produktiviti, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pembangunan sektor pembuatan lebih berdaya tahan," katanya.


Sumber artikel: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/06/1574415/lonjakan-ranking-daya-saing-akan-perkukuh-keyakinan-pelabur-fmm?source=widget

Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload