FMM gesa pendekatan seimbang dalam tindakan tarif Seksyen 301 AS
FMM In The News: MalaysiaGazette, 5 Julai 2026
KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa Amerika Syarikat (AS) mengambil pendekatan yang lebih seimbang terhadap cadangan tindakan di bawah Seksyen 301 yang melibatkan tarif tambahan ke atas ekonomi yang didakwa tidak melarang import barangan dihasilkan melalui buruh paksa.
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata, pihaknya telah mengemukakan ulasan bertulis kepada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) sebagai maklum balas terhadap cadangan tersebut.
Menurut beliau, FMM menyokong sepenuhnya usaha menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan global dan komitmen itu dizahirkan menerusi kerjasama berterusan dengan ahli, agensi kerajaan serta pihak berkepentingan dalam aspek pematuhan buruh, amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan usaha wajar rantaian bekalan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, tarif tambahan yang dicadangkan tidak seharusnya dilaksanakan sehingga menghukum pengeluar yang mematuhi peraturan atau menjejaskan hubungan perdagangan serta rantaian bekalan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan AS.
Menurutnya, banyak pengeluar Malaysia yang mengeksport ke AS telah mematuhi syarat ketat pelanggan, termasuk audit buruh, kod etika pembekal dan keperluan kebolehkesanan (traceability).
Katanya, FMM turut berpandangan, tarif tambahan itu boleh meningkatkan kos kepada pengimport, pengilang dan pengguna di AS, khususnya apabila pembekal Malaysia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan khusus yang telah lama diwujudkan.
Berdasarkan maklum balas ahlinya, kos tarif berkemungkinan dipindahkan sepenuhnya atau sebahagiannya kepada pelanggan di AS, sekali gus memberi kesan terhadap harga, ketersediaan produk dan tempoh penghantaran.
Sehubungan itu, FMM menggesa USTR mengekalkan pengecualian sedia ada di bawah Lampiran A, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta produk berkaitan yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global.
Katanya, FMM juga meminta supaya barangan Malaysia yang telah dikenakan tarif di bawah Seksyen 232 tidak dikenakan tarif berganda melalui cadangan tindakan Seksyen 301.
Selain itu, FMM turut mencadangkan USTR mewujudkan mekanisme semakan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menilai sama ada kadar tarif yang dikenakan ke atas barangan keluaran Malaysia masih wajar diteruskan.
Tambahnya, langkah itu penting memandangkan Malaysia sedang melaksanakan pelbagai pembaharuan domestik, termasuk penubuhan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa yang diumumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di Parlimen pada 23 Jun lalu.
Selain itu, FMM berpandangan usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan Malaysia perlu diambil kira dalam sebarang penilaian masa depan oleh USTR, manakala mekanisme semakan berkala akan menyediakan saluran yang adil dan tersusun bagi menilai kemajuan negara dalam menangani isu buruh paksa.
Menurut beliau lagi, Malaysia juga telah mengambil pelbagai langkah konkrit sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi meningkatkan pematuhan buruh, termasuk tindakan pemulihan susulan Perintah Penahanan Pelepasan (Withhold Release Orders) oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), pembaharuan amalan bayaran yuran pengambilan pekerja serta pindaan kepada undang-undang buruh.
Katanya, FMM menegaskan akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia, USTR dan pihak berkepentingan bagi menyokong langkah yang berkesan, praktikal dan seimbang untuk membanteras buruh paksa, di samping mengekalkan perdagangan yang sah, kestabilan rantaian bekalan dan daya saing pengilang yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
