FMM gesa kerajaan runding industri sebelum semak kuota subsidi diesel

June 23, 2026
Head Office, KL

FMM In The News: MALAYSIA GAZETTE, 18 Jun 2026

KUALA LUMPUR Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri sebelum melaksanakan sebarang perubahan terhadap kuota subsidi diesel komersial, susulan semakan kuota di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok melahirkan kebimbangan pelaksanaan semakan kuota tersebut ketika sektor pembuatan masih berdepan kos logistik dan pengangkutan yang tinggi, sekali gus berpotensi meningkatkan kos rantaian bekalan dan harga barangan.

Menurutnya, di bawah struktur baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), peruntukan diesel bulanan tetap bagi kenderaan pengangkutan barangan telah disemak semula melibatkan 23 kategori kenderaan.

Katanya, walaupun peluasan kelayakan kepada beberapa kategori kenderaan dialu-alukan, kebanyakan kategori pengangkutan barangan menerima pengurangan kuota diesel berbanding struktur sebelum ini.

“Perubahan tersebut dibuat tanpa penglibatan awal pemilik kargo, pengilang dan penyedia perkhidmatan logistik walaupun ia boleh memberi kesan langsung kepada kos pengangkutan, kecekapan rantaian bekalan dan harga barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jacob berkata, hasil Tinjauan Ketiga FMM mengenai Kesan Krisis Asia Barat terhadap Sektor Pembuatan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan Malaysia yang dijalankan antara 25 Mei hingga 10 Jun 2026, sebanyak 87 peratus pengilang melaporkan keadaan perniagaan sama ada semakin merosot atau kekal tidak berubah sejak awal Mei.

Kajian itu turut mendapati 86 peratus responden masih berdepan tekanan berkaitan logistik, manakala 51 peratus melaporkan peningkatan kos pengangkutan domestik dan 49 peratus lagi berdepan surcaj pengangkutan yang lebih tinggi atau kesukaran mendapatkan perkhidmatan bagi laluan tertentu.

Beliau berkata, FMM memaklumkan maklum balas daripada ahlinya menunjukkan kekangan kuota diesel memberi kesan langsung kepada ketersediaan perkhidmatan pengangkutan dan kos haulaj.

Dakwa Jacob, terdapat pengusaha pengangkutan yang enggan mengambil sesuatu penghantaran selepas kuota diesel bersubsidi habis digunakan kerana penggunaan diesel komersial meningkatkan kos operasi dengan ketara.

Dalam keadaan sedemikian, pengusaha sama ada mengenakan caj tambahan atau menolak laluan yang kurang menguntungkan.

Beliau menegaskan isu tersebut bukan hanya melibatkan sektor pengangkutan kerana kenderaan komersial memainkan peranan penting dalam penghantaran bahan mentah, produk separuh siap dan barangan siap di seluruh ekonomi.

“Justeru, sebarang peningkatan kos atau kekangan kapasiti pengangkutan akan dipindahkan sepanjang rantaian bekalan sebelum akhirnya ditanggung oleh perniagaan dan pengguna,” ujarnya.

Sehubungan itu, FMM mencadangkan satu mekanisme perundingan berstruktur melibatkan pemilik kargo, pengilang, penyedia logistik dan agensi kerajaan diwujudkan sebelum sebarang perubahan kepada subsidi bahan api komersial dilaksanakan.

Selain itu, katanya, FMM turut mengesyorkan penubuhan Mekanisme Pelarasan Krisis di bawah SKDS bagi membolehkan pelarasan kuota diesel dibuat secara sementara ketika berlakunya gangguan luar biasa yang menjejaskan operasi pengangkutan dan rantaian bekalan.

Jacob menegaskan, objektif cadangan itu bukan untuk membatalkan reformasi subsidi, sebaliknya memastikan sistem sedia ada mempunyai fleksibiliti mencukupi bagi menghadapi keadaan luar jangka sambil mengekalkan daya tahan rantaian bekalan, daya saing industri dan kestabilan kos sara hidup.

Katanya, FMM telah memohon sesi libat urus rasmi dengan KPDN bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas semakan kuota diesel tersebut serta membincangkan langkah praktikal untuk mengurangkan kesan yang tidak diingini terhadap industri dan pengguna. – MalaysiaGazette


Sumber artikel: https://malaysiagazette.com/2026/06/18/fmm-gesa-kerajaan-runding-industri-sebelum-semak-kuota-subsidi-diesel/





Certified to IS0 9001:2015

Certificate No: QMS 00787

Certified to IS0 37001:2016

Certificate No: ABMS 00295

An unhandled error has occurred. Reload