FMM In The News: BERITA HARIAN, KUALA LUMPUR, Selasa, 3 Januari 2023 - Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memohon kerajaan untuk terus memberikan sokongan kepada inisiatif inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri di Malaysia.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata sokongan itu perlu melalui peruntukan yang lebih besar bagi bantuan kewangan, insentif dan inisiatif dalam Bajet 2023.
Beliau berkata, ini termasuk liberalisasi insentif cukai untuk perbelanjaan R&D dan membenarkan potongan automatik tanpa ambang.
Had masa juga katanya perlu dilanjutkan kepada semua syarikat termasuk syarikat peringkat pertengahan dan lebih besar memandangkan potensi mereka untuk memacu inovasi dan kreativiti.
"Pada masa yang sama, selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan, agensi berkaitan mesti memberikan kelulusan yang lebih cepat untuk aplikasi yang berkaitan dengan insentif R&D.
"Ini kerana kepantasan adalah penting kepada kejayaan yang baharu pembangunan produk dan perkhidmatan serta pengkomersilan,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Thian Lai berkata, komitmen oleh kerajaan ketika ini adalah langkah positif ke arah mempertingkatkan kemudahan melakukan perniagaan, daya saing dan kemampanan ekonomi.
Beliau berkata, ini akan meningkatkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
"Kunci untuk meningkatkan tahap perkhidmatan ialah meningkatkan tahap produktiviti.
"Ini boleh dicapai dengan tahap inovasi yang lebih tinggi seperti pendigitalan yang akan memendekkan masa menunggu, mengurangkan kos dan birokrasi.
"Sama pentingnya untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam adalah untuk dasar. Peraturan dan prosedur kerajaan hendaklah dibuat mudah, telus, boleh dipercayai, konsisten dan adil," katanya.